
KUALA LUMPUR – Suhu politik di Negeri Sembilan melonjak ke tahap kritikal apabila Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun secara terbuka meminta rakyat bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bila-bila masa.
Meskipun tidak mendedahkan tarikh khusus, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu menyifatkan kemelut dalaman yang melanda pentadbiran negeri ketika ini sebagai sesuatu yang di luar jangkaan.
"Saya mahu rakyat Negeri Sembilan, penduduk negeri ini, bersiap sedia menghadapi pilihan raya. Mereka tak puas hati. Hari ini kenyataan demi kenyataan (dikeluarkan). Seolah-olah kita terpaksa menerima.
"Tetapi kita juga manusia. Saya juga manusia. Saya juga rasa tercalar. Saya juga rasa hiba. Rakan-rakan seperjuangan juga rasa terperanjat," tegas beliau.
Krisis 'luar perancangan'
Bercakap di hadapan ribuan penyokong pada Ceramah Perdana Pimpinan PH di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi Aminuddin mendedahkan rasa kecewanya terhadap gerakan politik yang berlaku di belakang tabir.
Beliau mendakwa tindakan pihak tertentu dilakukan tanpa perbincangan awal, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri.
"Peristiwa yang berlaku awal pagi tanpa satu perkara yang dimaklumkan kepada rakan-rakan yang lain. Ini merupakan satu perkara yang cukup di luar perancangan ataupun pengetahuan kita," katanya lagi.
Isu ini timbul susulan kenyataan Umno Negeri Sembilan yang menegaskan bahawa walaupun mereka kekal menyokong Kerajaan Perpaduan, pendirian untuk menarik sokongan terhadap Aminuddin sebagai Menteri Besar adalah muktamad.
Jentera PH diarah 'siap siaga'
Susulan retak menanti belah itu, Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR mengarahkan seluruh jentera komponen PH – membabitkan PKR, DAP, dan Amanah – untuk segera menyusun strategi tempur.
"Jadi saya berharap kepada semua, bahawa apa yang penting sebagai ahli parti, penyokong parti, sebagai orang atas pagar maklum perkara ini. Maklum bahawa apa yang penting, kita kena kuatkan jentera kita.
"Kita kena kuatkan saf-saf kita. Amanah, PKR dan DAP harus kita bersiap sedia dalam apa cara sekalipun. Di Negeri Sembilan ini dan di Malaysia ini. Kita kena bersiap sedia. Kita kena bekerja sebagai satu pasukan memastikan kemenangan dalam pilihan raya."
Kecewa politik 'gila kuasa'
Dalam nada kesal, beliau membidas pihak yang sengaja mencetuskan huru-hara politik ketika rakyat sedang bergelut dengan tekanan ekonomi global.
Bagi Aminuddin, fokus utama sepatutnya diberikan kepada kebajikan rakyat, bukannya percaturan kuasa yang tidak berkesudahan.
"Dalam keadaan ekonomi dunia yang tak menentu hari ini, kita tidak boleh lagi bergerak seperti biasa. Hari ini bukan kita nak cerita politik, politik, politik. Kita mahu cerita bagaimana kita boleh tawan hati rakyat dengan mengurangkan bebanan mereka, betul tak? Ini yang harus kita lakukan."
Hadir sama memberi sokongan pada majlis tersebut ialah Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu; dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - 7 Mei, 2026
The post ‘Gendang perang’ bergema di Negeri Sembilan, Aminuddin beri bayangan PRN mengejut appeared first on Scoop.






