hamden24/09/2026 - 10:31 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Sept - Penglibatan lebih aktif generasi baharu dalam pengurusan Glomac Bhd dijangka membantu menyegarkan jenama kumpulan, termasuk menerusi penjenamaan semula Glo Damansara Mall serta pendekatan baharu terhadap pelancaran dan penempatan produk hartanah, menurut TA Research.
Firma penyelidikan itu berkata, perubahan generasi dalam barisan pengurusan, bersama pasukan hal ehwal korporat dan projek strategik yang diperbaharui, memberi tumpuan kepada pengukuhan jenama dan peningkatan penglibatan media sosial bagi menarik kumpulan pelanggan yang lebih muda.
Menurutnya, Glomac kini beralih daripada konsep pusat beli-belah kejiranan konvensional kepada destinasi gaya hidup dan komuniti yang lebih tersusun.
“Penjenamaan semula Glo Damansara merupakan sebahagian daripada usaha penyegaran jenama yang lebih meluas, dengan pihak pengurusan berhasrat membawa pendekatan sama ke dalam pelancaran hartanah dan penempatan produk pada masa hadapan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Antara inisiatif utama ialah Circadian, konsep sosial dan kesejahteraan di atas bumbung seluas kira-kira 47,000 kaki persegi yang disasarkan untuk pembukaan percubaan pada Oktober.
Konsep itu akan menampilkan aktiviti seperti pickleball, padel, latihan gaya HYROX, Pilates serta perkhidmatan kesejahteraan dan pemulihan termasuk fisioterapi.
Penganalisis berkata inisiatif tersebut bertujuan menarik golongan lebih muda selain meningkatkan kunjungan berulang ke pusat beli-belah berkenaan.
Semasa lawatan ke Glo Damansara Mall, kadar penghunian berada pada kira-kira 55%, dengan pihak pengurusan menyasarkan kadar 75% hingga 80% menjelang akhir tahun.
“Pusat beli-belah itu sudah mencatat keuntungan operasi pada tahap penghunian semasa,” katanya.
Pelancaran projek ditingkatkan pada FY2027
Dalam pada itu, prospek operasi Glomac turut disokong peningkatan aktiviti pelancaran projek bagi FY27.
Baru-baru ini kumpulan melancarkan projek bernilai kira-kira RM163 juta yang terdiri daripada pejabat kedai Qaya di Saujana Perdana, rumah teres dua tingkat Serai 3 di Sungai Buloh Country Resort dan 16 unit rumah berkembar Legacy di Saujana Rawang.
Sambutan awal terhadap Qaya dan Legacy dilaporkan menggalakkan, dengan pihak pengurusan yakin kedua-dua projek itu boleh dijual sepenuhnya dalam tempoh enam bulan akan datang.
Serai 3 pula dijangka mengambil masa lebih lama untuk diserap kerana Glomac masih menjual baki kira-kira 20 unit Serai 2.
Kesemua projek berkenaan menyumbang hampir separuh daripada kira-kira RM371 juta nilai pelancaran yang dirancang bagi FY27, manakala baki RM208 juta disasarkan untuk dilancarkan pada 4QFY27.
TA Research mengekalkan anggaran jualan FY27 sebanyak RM250 juta, yang menunjukkan pertumbuhan kira-kira 25% tahun ke tahun, disokong saluran pelancaran projek dan kira-kira RM500 juta GDV yang masih tersedia untuk dipasarkan.
Selain itu, jualan belum dibilkan sebanyak kira-kira RM400 juta, bersamaan kira-kira dua kali ganda hasil pembangunan hartanah FY26, dijangka memberikan keterlihatan pendapatan bagi tempoh dua tahun akan datang.
Dalam pengurusan bank tanah pula, Glomac mengambil pendekatan lebih aktif dengan membuat pemerolehan terpilih bagi tapak yang mempunyai tempoh pembangunan lebih pantas, selain mempertimbangkan monetisasi tanah yang bergerak perlahan bagi tujuan kitar semula modal.
Glomac mempunyai kira-kira RM6 bilion baki GDV, walaupun sebahagian besar daripadanya berada dalam pembangunan bandar yang mempunyai tempoh matang lebih panjang.
TA Research mengekalkan saranan ‘Pegang’ terhadap saham Glomac dengan sasaran harga tidak berubah pada RM0.34, berdasarkan 0.21 kali nisbah harga kepada nilai buku (P/B) CY27. - DagangNews.com





