hamden21/09/2026 - 10:10 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Sept - Momentum jualan Glomac Bhd dijangka menjadi lebih ketara mulai suku kedua tahun kewangan 2027 (2QFY27), susulan pelancaran projek baharu bernilai kira-kira RM163 juta pada 19 September 2026, menurut TA Research.
Firma penyelidikan itu berkata pelancaran tersebut merangkumi projek pejabat kedai Qaya di Saujana Perdana bernilai RM78 juta, Serai 3 di Sungai Buloh Country Resort (RM69 juta) dan 16 Legacy di Saujana Rawang (RM16 juta).
“Pelancaran ini mewakili sedikit lebih separuh daripada keseluruhan pelancaran FY27 yang dirancang Glomac, dengan nilai keseluruhan kira-kira RM317 juta,” katanya dalam nota penyelidikan baru-baru ini.
Menurut firma itu, aktiviti pelancaran FY27 hanya bermula pada 2QFY27, manakala baki projek akan dilancarkan secara berperingkat sepanjang tahun.
Justeru, ia menjangkakan momentum jualan Glomac menjadi lebih bermakna mulai suku kedua dan seterusnya.
Pihak pengurusan Glomac turut menjangkakan jualan FY27 bertambah baik, meskipun belum menetapkan sasaran rasmi pada peringkat ini.
Keputusan 1QFY27 atasi jangkaan
Sementara itu, Glomac mencatatkan keuntungan bersih teras RM7.6 juta bagi 1QFY27, meningkat daripada kerugian bersih teras RM1.7 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Firma itu berkata keputusan berkenaan mengatasi jangkaannya dan menyumbang 43% daripada unjuran pendapatan FY27, didorong margin lebih kukuh daripada jangkaan.
Hasil bagi suku berkenaan melonjak 163% tahun ke tahun kepada RM68.5 juta, disokong hasil pembangunan hartanah yang meningkat lebih tiga kali ganda kepada RM61.1 juta daripada RM19.2 juta.
Bagaimanapun, secara suku ke suku, hasil susut 14% daripada RM79.9 juta pada 4QFY26, manakala keuntungan bersih teras berkurang 37% daripada RM12.1 juta.
Menurut TA Research, penurunan hasil secara sukuan sebahagian besarnya mencerminkan bil kemajuan yang lebih rendah, manakala margin kasar kembali normal kepada 31.4% daripada 43% pada suku sebelumnya.
“Perubahan margin itu sebahagiannya berpunca daripada perbezaan campuran projek yang diiktiraf sepanjang suku tersebut,” katanya.
Dari segi kedudukan kewangan, kunci kira-kira Glomac kekal kukuh dengan kedudukan tunai bersih kira-kira RM25 juta pada akhir Julai 2026.
Jualan belum dibil terkini pula berjumlah RM407 juta, bersamaan kira-kira 2.1 kali ganda hasil pembangunan hartanah FY26.
Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan Glomac sementara menunggu pertemuan dengan pihak pengurusan pada minggu depan.
Dalam pada itu, firma berkenaan mengekalkan saranan Pegang terhadap Glomac dengan harga sasaran RM0.34 sesaham, berdasarkan gandaan harga kepada nilai buku (P/B) CY27 sebanyak 0.21 kali. - DagangNews.com






