Generasi digital masih ‘ulat buku’

27 Sep 2026 • 12:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Generasi digital masih ‘ulat buku’

KUALA LUMPUR, 27 SEPT: Kehadiran ramai golongan muda sebagai pembeli dan penjual buku di Pesta Buku Antarabangsa 2026 menunjukkan budaya membaca masih mendapat tempat dalam kalangan generasi berkenaan.

Tokoh Perbukuan Negara, Mohd Khair Ngadiron berkata perkara itu dapat dilihat sepanjang pesta berkenaan yang berlangsung selama 10 hari dari 29 Mei hingga 7 Jun lalu.

“Yang datang membeli buku ialah orang muda dan yang menjual buku juga orang muda,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, perkembangan teknologi tidak bermakna golongan muda meninggalkan buku sepenuhnya kerana masih terdapat kelompok yang menjadikan aktiviti membaca sebagai hobi.

Image from: Generasi digital masih ‘ulat buku’
Tokoh Perbukuan Negara, Mohd Khair Ngadiron. Foto MARSYA ZULAIKHA SYAKUR/MEDIA SELANGOR

Katanya, kecenderungan itu turut dapat dilihat menerusi dapatan "Programme for International Student Assessment (PISA) 2025" yang menurutnya menunjukkan skor membaca Malaysia meningkat lima mata berbanding 2022.

Mohd Khair berkata peningkatan berkenaan menunjukkan masih terdapat golongan yang mempunyai minat terhadap aktiviti membaca dan kelompok itu perlu terus diraikan.

Selain itu, katanya, Baucar Buku MADANI turut menjadi antara inisiatif yang menggalakkan pembelian bahan bacaan dalam kalangan generasi muda.

“Walaupun ada yang tidak menggunakan baucar tersebut, mereka memberikannya kepada orang lain. Baucar itu tidak boleh ditukar kepada wang ringgit, maka penerima tetap menggunakannya untuk membeli buku.

“Daripada situ kita boleh melihat bahawa buku masih mendapat tempat dalam generasi muda,” katanya.

Image from: Generasi digital masih ‘ulat buku’
Penulis buku Abdul Latip Talib menandatangan buku sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 29 Mei 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata amalan membaca sering dikaitkan dengan perkembangan intelektual kerana membantu seseorang memperoleh ilmu serta berfikir dengan lebih jelas dan teratur.

Bagaimanapun, katanya, bahan bacaan tidak semestinya terhad kepada karya ilmiah kerana novel dan komik juga mempunyai peranan tersendiri kepada pembaca.

Menurut Mohd Khair, setiap individu berhak memilih bahan bacaan mengikut minat masing-masing tanpa mengehadkan aktiviti membaca kepada jenis buku tertentu sahaja.

Image from: Generasi digital masih ‘ulat buku’
Pengunjung menunjukkan koleksi cap sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 30 Mei 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved