
KUALA LUMPUR – Kelab Perempuan Membaca bakal diperluaskan ke negeri-negeri menerusi pelbagai program pertemuan, dalam usaha menggalakkan budaya membaca dan perkongsian ilmu kepada masyarakat khususnya golongan wanita.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kelab yang dilancarkan pada Jun lalu itu kini terus berkembang menjadi kelab membaca terbesar di negara ini.
“Saya bangga melihat komitmen mereka dari pertemuan pertama dan kedua (hari ini). Harap kelab yang terbesar di Malaysia ini terus berkembang.
“Perancangan kita akan pergi ke negeri-negeri. Dengan ada kelab seperti ini, ia platform baik untuk berkongsi bacaan tidak kira peringkat usia.
“Ada pelajar sekolah, bekerjaya profesional, penulis di samping kehadiran Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hasan hari ini,” katanya pada program Pertemuan Kelab Perempuan Membaca di Sunken Garden, pusat beli-belah MyTOWN Shopping Centre di sini hari ini.
Fadhlina berkata, beliau berharap Kelab Perempuan Membaca akan menjadi medan penting dalam meningkatkan budaya membaca dan perkongsian ilmu.
“Pemimpin, menteri boleh turun sama. Semua berkongsi bacaan tidak kira anak-anak sekolah atau nenek pun ada. Ini perkembangan baik, harap menjadi sebahagian budaya dalam meningkatkan pembacaan,” katanya.
Terdahulu, program pertemuan hari ini bertemakan ‘Perempuan Dalam Sejarah’ memberi ruang kepada peserta menelusuri hubungan antara wanita, kepimpinan dan pembinaan negara melalui pembacaan serta perbincangan buku.
Kelab Perempuan Membaca merupakan inisiatif berasaskan komuniti diaspirasikan oleh Fadhlina ditubuhkan sebagai platform inklusif bagi memupuk budaya membaca dalam kalangan wanita. – KOSMO! ONLINE
The post Kelab Perempuan Membaca bakal ‘turun padang’ ke negeri appeared first on Kosmo Online.






