Generasi kedua Felda lega rumah dapat elektrik

16 Sep 2026 • 9:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Generasi kedua Felda lega rumah dapat elektrik

TEMERLOH: Keputusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) meluluskan penyaluran bekalan elektrik ke rumah kedua dalam satu lot tanah rancangan disifatkan sebagai langkah pragmatik bagi membantu komuniti berkenaan.

Presiden Pertubuhan Kami Anak Felda Malaysia (KAF), Datuk Amizar Abu Adam berkata, kebenaran khas itu menjadi khabar gembira buat warga Felda, khususnya generasi kedua dan ketiga yang sudah berkeluarga dan memilih untuk terus menetap bersama ibu bapa mereka.

​Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan negeri menyifatkan keputusan berkenaan sebagai langkah berani dan pragmatik yang memikirkan realiti kehidupan terkini komuniti Felda.

​”KAF merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Felda atas kebenaran ini. Keputusan ini amat bermakna kerana ia menyentuh keperluan asas generasi muda yang mahu membina kehidupan di tanah rancangan.

​”Ini sekali gus membuktikan hasil perjuangan berterusan anak-anak peneroka dalam memohon penyelesaian terhadap isu kemudahan asas bagi rumah kedua dan ketiga,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Amizar berkata, generasi Felda yang berhasrat memohon penyambungan bekalan elektrik ke kediaman kedua boleh terus berhubung dengan pengurus di kawasan tanah rancangan masing-masing untuk mendapatkan khidmat nasihat dan borang berkaitan.

“Mereka juga perlu mengemukakan maklumat kepada Pengarah Wilayah Felda bagi tujuan pengesahan dan rekod. Pemohon juga perlu memuat naik dokumen lengkap untuk dikemukakan kepada pihak penyedia perkhidmatan tenaga,” katanya.

Beliau menzahirkan penghargaan khusus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang banyak membantu melicinkan proses kelulusan permohonan tersebut.

​Beliau berharap pendekatan prihatin yang mendengar suara akar umbi itu akan terus diperkasakan demi menjamin kesejahteraan dan kelangsungan pembangunan sosioekonomi warga Felda di seluruh negara. – UTUSAN

The post Generasi kedua Felda lega rumah dapat elektrik appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved