
NEW YORK: Elena Rybakina melepasi ujian pertama di Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2026 apabila menewaskan pemain remaja tuan rumah, Thea Frodin 6-3, 6-2 untuk mara ke pusingan kedua, semalam.
Pemain Kazakhstan yang menghuni ranking No. 2 dunia itu turut menarik nafas lega apabila kecederaan tumit kiri tidak menghalangnya daripada mempamerkan aksi bertenaga selepas terpaksa menarik diri pada suku akhir Terbuka Cincinnati.
Kemenangan menyemarakkan impian Rybakina untuk memburu gelaran Grand Slam ketiganya selain peluang merampas kedudukan No. 1 dunia yang boleh dicapainya sekiranya mara ke separuh akhir di Flushing Meadows.
Rybakina tampil kemas sepanjang perlawanan untuk mengekang permainan Frodin yang memiliki pukulan bertenaga tetapi tidak konsisten, sekali gus melengkapkan kemenangan straight set.
“Saya gembira dengan perlawanan ini. Apabila anda tidak mengenali lawan, ia sentiasa boleh menjadi berbahaya, tetapi secara keseluruhan saya gembira dengan aksi pertama dan bagaimana ia berlangsung.
“Ini keputusan yang hebat selepas 10 hari mengalami kecederaan seperti itu,” kata Rybakina.
Rybakina sebelum ini mendapat pengesahan daripada ahli fisioterapi di Cincinnati bahawa kecederaan yang dialaminya tidak melibatkan koyakan pada tendon Achilles.
Bagaimanapun, dia mengakui beberapa hari pertama proses pemulihan cukup mencabar apabila tidak mampu berjalan selain terpaksa mengehadkan latihan dan aktiviti di gim.
“Ketika saya melakukan servis, saya sedar saya tidak boleh menolak menggunakan kaki itu. Jadi, mustahil untuk meneruskan permainan.
“Selepas itu, kami memulakan proses pemulihan dan tidak tahu sama ada saya mampu bermain di sini atau tidak. Kami mengambilnya hari demi hari.
“Buat masa ini, saya rasa okey. Sudah tentu, kami akan melihat keadaan saya hari demi hari, termasuk bagaimana saya bangun esok kerana ini perlawanan pertama dan melibatkan banyak pergerakan,” katanya. – AGENSI
The post Rybakina lepas ujian pertama appeared first on Utusan Malaysia.




