Geng Suria terlibat 20 kes jenayah tumpas, bakal dituduh esok

21 Oct 2026 • 9:07 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Geng Suria terlibat 20 kes jenayah tumpas, bakal dituduh esok

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan Geng Suria yang dipercayai terbabit dalam 20 kes jenayah harta benda dan kekerasan menerusi Op Sunset di Kedah dan Perak, bulan lalu.

Operasi khas yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Kontinjen Kedah itu dilaksanakan dari 24 hingga 27 September lalu.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kumpulan jenayah terancang itu mempunyai sembilan ahli berusia antara 28 hingga 52 tahun dan diketuai seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun.

Menurutnya, kumpulan tersebut dipercayai aktif sejak awal 2024 dan terlibat dalam kegiatan samun berkumpulan menggunakan senjata serta mendatangkan kecederaan di Kedah.

“Polis berjaya menahan enam suspek berusia antara 28 hingga 39 tahun, manakala tiga lagi ahli kumpulan sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh, Penjara Pokok Sena dan Penjara Sungai Petani atas kesalahan jenayah lain.

“Kesemua enam suspek yang ditangkap ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sehingga 25 Oktober ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati beberapa suspek mempunyai rekod kesalahan lampau termasuk mencuri kenderaan, pecah rumah, penyalahgunaan dadah serta samun berkumpulan dan mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata tajam.

Dalam operasi itu, polis turut merampas enam telefon bimbit pelbagai jenama serta 189 pil ekstasi dengan anggaran berat 101.12 gram.

Kes rampasan dadah berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengulas modus operandi kumpulan itu, beliau berkata, Geng Suria menyasarkan kediaman warga asing, premis perniagaan dan rumah kediaman yang dikenal pasti ketua kumpulan.

Katanya, ahli kumpulan menggunakan senjata berbahaya seperti pisau dan parang ketika melakukan samun, malah tidak teragak-agak mencederakan mangsa bagi melancarkan kegiatan mereka.

“Barangan berharga yang diperoleh daripada kegiatan samun akan dijual untuk mendapatkan wang, manakala keuntungan diagihkan oleh ketua kumpulan kepada ahli berdasarkan peranan dan penglibatan masing-masing.

“Kegiatan mereka mengakibatkan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit selain menimbulkan ketakutan dan trauma kepada mangsa, termasuk beberapa mangsa yang mengalami kecederaan parah,” ujarnya

Tambah beliau, kertas siasatan telah dirujuk kepada Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara dan pihak pendakwaan bersetuju supaya kesemua sembilan ahli kumpulan itu dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.

Katanya, kesemua sembilan ahli Geng Suria dijadualkan dituduh esok di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Kedah. – KOSMO! ONLINE

The post Geng Suria terlibat 20 kes jenayah tumpas, bakal dituduh esok appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved