Gentari bekal tenaga boleh baharu kepada Amazon melalui projek ladang angin 80MW di India

Business & FinanceEnvironment
5 Aug 2025 • 3:41 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Gentari bekal tenaga boleh baharu kepada Amazon melalui projek ladang angin 80MW di India

image is not available

05/08/2025 - 15:41

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Gentari Sdn Bhd, penyedia penyelesaian tenaga boleh baharu milik penuh PETRONAS, telah memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) bersama Amazon Web Services bagi projek tenaga angin berkapasiti 80 megawatt (MW) di Tamil Nadu, India.

Perjanjian itu merupakan hasil kerjasama strategik antara Gentari dan AWS yang dimeterai pada 2023, dan kini diterjemahkan ke dalam pelaksanaan melalui pembangunan loji tenaga angin utiliti berskala besar.

Projek berkenaan dijangka memulakan operasi komersial pada pertengahan tahun 2027 dan bakal menjana kira-kira 300,000 megawatt jam (MWh) tenaga boleh diperbaharui setiap tahun.

Melalui pembekalan tenaga boleh diperbaharui ini, Gentari akan terus memperkukuhkan visinya untuk merealisasikan tenaga bersih dan menyokong matlamat AWS untuk mencapai pelepasan sifar bersih karbon menjelang tahun 2040.

Majlis pertukaran dokumen perjanjian PPA itu menyaksikan Gentari diwakili oleh Ketua Pegawai Tenaga Boleh Diperbaharui, Low Kian Min, manakala AWS diwakili oleh Pengarah Urusan ASEAN, Jeff Johnson.

Majlis turut disaksikan oleh Pengerusi Gentari merangkap Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik; Naib Presiden Perkhidmatan Global AWS, Uwem Ukpong; serta Naib Presiden Kanan Projek, Teknologi dan HSE PETRONAS, Ir Ts Mohd Yusri Mohamed Yusof.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gentari, Sushil Purohit berkata, kolaborasi ini mencerminkan komitmen bersama kedua-dua syarikat dalam mempercepatkan peralihan kepada masa depan rendah karbon.

“Projek seperti ladang angin ini bukan sahaja meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui, malah dapat memenuhi keperluan tenaga di kawasan yang paling memerlukannya.

“Gentari berbangga dapat menyokong perjalanan AWS ke arah sifar bersih dan kami mengalu-alukan lebih ramai rakan strategik dalam membina ekosistem tenaga bersih yang lebih kukuh,” katanya.

Jeff Johnson pula berkata AWS sebagai pembeli korporat tenaga boleh diperbaharui terbesar di dunia terus komited terhadap kelestarian alam sekitar menerusi kerjasama strategik seperti ini.

“Kami berbangga bekerjasama dengan organisasi berpandangan jauh seperti Gentari yang berkongsi komitmen terhadap kemajuan teknologi dan pemeliharaan alam sekitar,” ujarnya.

Perkongsian Gentari-AWS ini turut memperkukuh aspirasi jangka panjang Gentari untuk menjadi peneraju utama dalam tiga teras utama iaitu pembangunan tenaga boleh diperbaharui berskala utiliti dan komersial, pengeluaran hidrogen berskala besar serta penyedia penyelesaian mobiliti hijau terkemuka Asia Pasifik.

Sebagai syarikat yang ditubuhkan untuk melaksanakan penyelesaian tenaga bersih secara praktikal dan berkesan, Gentari kekal fokus dalam membina rangkaian kerjasama kukuh bagi mempercepatkan pencapaian masa depan neutral karbon sejagat. - DagangNews.com

standard