UOB Kay Hian kekal saranan 'overweight' terhadap sektor RE berikutan kelulusan 48 projek baharu

LocalBusiness & Finance
23 Jul 2025 • 12:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

UOB Kay Hian kekal saranan 'overweight' terhadap sektor RE berikutan kelulusan 48 projek baharu

image is not available

23/07/2025 - 12:20

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Julai – Sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) terus menunjukkan prospek pertumbuhan kukuh apabila Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air meluluskan 48 projek penjanaan tenaga RE di bawah program tarif galakan (FiT 2.0), kata UOB Kay Hian (UOBKH).

Firma penyelidikan itu berkata, kelulusan tersebut mengukuhkan lagi hala tuju negara untuk mencapai sasaran sifar bersih karbon.

UOB Kay Hian mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor tersebut.

"Daripada jumlah itu, 20 projek biogas dengan kapasiti gabungan 31 megawatt (MW), lapan projek biojisim (54MW) dan 20 projek hidro mini (96MW) telah diberikan kelulusan. Penjana tenaga yang berjaya akan menjual tenaga kepada grid nasional selama 21 tahun pada kadar tarif antara 25 sen hingga 34 sen bagi setiap kilowatt-jam.

"Nilai kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi loji biojisim biasanya dianggarkan antara RM11.5 juta hingga RM13 juta bagi setiap MW, manakala projek hidro mini pula antara RM6 juta hingga RM13 juta per MW," kata UOB Kay Hian dalam nota kajiannya.

Sementara itu, program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) 3.0 yang berakhir pada 30 Jun lalu mencatat kadar pengambilan tinggi, iaitu 94% bagi NEM Rakyat (kediaman), 80% bagi kementerian dan entiti kerajaan serta 71% bagi sektor komersial dan industri menerusi mekanisme 'offset maya'.

Kadar penyertaan tinggi dalam NEM Rakyat turut dipacu oleh Skim Insentif Solar Untuk Rakyat yang menawarkan rebat RM4,000, membantu mempercepatkan tempoh pulangan pelaburan kepada sekitar empat tahun.

“Kami menjangkakan pertumbuhan hasil yang sihat bagi suku kedua 2025 susulan lonjakan pelaksanaan projek solar, terutamanya dalam kalangan pelanggan komersial dan industri yang mahu mengimbangi kesan pelarasan struktur tarif,” jelas UOBKH.

Firma itu turut menjangka kapasiti solar fotovoltaik (PV) negara akan melepasi 6.5 gigawatt dalam tempoh 2025 hingga 2026, seiring inisiatif kerajaan membuka tender baharu bagi program solar berskala besar (LSS).

Berdasarkan kos pembinaan sekitar RM2 juta hingga RM2.5 juta per MW, potensi nilai kontrak EPCC dijangka mencecah RM13 bilion hingga RM16 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Margin EPCC dijangka lebih menarik berikutan penurunan harga panel solar PV kebelakangan ini,” tambahnya. - DagangNews.com

standard