Sabah luluskan projek gas, hidro dan tenaga angin 723MW penuhi permintaan tenaga

22/07/2025 - 17:02
KUALA LUMPUR 22 Julai - Majlis Tenaga Sabah secara prinsipya telah meluluskan projek tenaga sehingga 723 megawatt (MW) bagi memenuhi permintaan elektrik jangka sederhana negeri itu.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dua loji janakuasa berasaskan gas di Kimanis dan Tawau dengan jumlah kapasiti 360MW, serta projek tenaga boleh diperbaharui (RE) daripada sumber hidro dan tenaga angin dengan jumlah kapasiti 363MW, telah diberikan kelulusan teknikal dan komersial bersyarat.
“Ia adalah selari dengan pertumbuhan ekonomi negeri, keperluan sektor perindustrian dan kemampuan pengguna untuk menanggung kos penjanaan tenaga yang berpatutan.
“Saya percaya dengan komitmen dan kerjasama semua pihak, majlis ini akan terus berperanan sebagai platform tertinggi dalam menyelaras dasar tenaga negeri secara menyeluruh dan bersepadu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut.
Beliau turut memaklumkan, beberapa projek pantas (fast-track) yang diluluskan dalam mesyuarat majlis tenaga tahun lalu kini mula menunjukkan hasil.
Antaranya peningkatan margin simpanan penjanaan kuasa daripada 10% pada Januari 2023, sebelum Suruhanjaya Tenaga Sabah mengambil alih kuasa kawal selia, kepada 17% pada masa ini.
Margin ini dijangka meningkat lagi kepada 30% menjelang akhir tahun ini.
“Projek fast-track ini juga telah menyebabkan pengurangan dalam Indeks Purata Tempoh Gangguan Sistem Sabah (SAIDI), daripada 363 minit dalam enam bulan pertama tahun 2023 kepada 215 minit dalam tempoh sama tahun 2024, dan turun lagi kepada 162 minit dalam enam bulan pertama tahun ini,” katanya. - DagangNews.com
standard

