Genting Malaysia diramal berdepan prospek mencabar disebabkan tekanan kos - penganalisis

29/08/2025 - 16:04
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 29 Ogos - Genting Malaysia dianggar berdepan prospek mencabar disebabkan tekanan kos operasi walaupun berjaya mencatatkan peningkatan keuntungan bersih pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25).
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, peningkatan pendapatan pada 2QFY25 meningkat sebanyak lima kali ganda dan keputusan 1HFY25 juga secara umumnya selaras dengan anggaran konsensus
Katanya, Genting Malaysia dijangka berdepan kenaikan kos akibat pengembangan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kenaikan tarif elektrik, serta sumbangan wajib majikan kepada KWSP bagi pekerja asing.
"Firma penyelidikan itu berkata, cabaran dan ketidaktentuan operasi luar negara juga menimbulkan risiko kepada operasi di Malaysia, yang telah menunjukkan pemulihan pada 2QFY25," katanya dalam satu nota kajian.
Saham Genting Malaysia telah menyusut kira-kira 10% tahun ini, sebahagiannya disebabkan oleh pengambilalihan Empire Resorts Inc yang mencatat kerugian daripada keluarga pengasas kumpulan Genting.
Majoriti firma penyelidikan kini bersikap berhati-hati. Terdapat 11 saranan "pegang", empat "jual" dan hanya tiga "beli" terhadap saham tersebut.
Harga sasaran purata ialah RM2.06, menurut Bloomberg, yang menunjukkan potensi kenaikan kurang daripada 2% dalam tempoh 12 bulan akan datang daripada harga semasa.
Tekanan terhadap harga saham berpunca daripada prestasi pendapatan Genting Malaysia yang tidak konsisten serta pengurangan dividen ke tahap lebih rendah berbanding zaman pandemik COVID-19, kata CGS International dalam satu nota berasingan.
Firma penyelidikan itu juga menurunkan penarafan saham kepada "kurang".
“Kami berpendapat pasaran masih belum mengambil kira kelembapan pertumbuhan pendapatan serta pengurangan dividen,” katanya.- DagangNews.com
standard

