Sunway Healthcare bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 1Q26

LocalBusiness & Finance
29 Aug 2025 • 2:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sunway Healthcare bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 1Q26

image is not available

29/08/2025 - 14:45

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Sunway Berhad bercadang menyenaraikan Sunway Healthcare Holdings Berhad di Pasaran Utama Bursa Malaysia menjelang suku pertama 2026.

Kumpulan itu berkata, penyenaraian yang dicadangkan itu bertujuan memisahkan Sunway Healthcare daripada portfolio Sunway bagi membolehkan kedua-dua pasukan pengurusan memberi tumpuan kepada perniagaan teras masing-masing.

Sunway Healthcare dimiliki sebanyak 84% oleh Sunway City Sdn Bhd (SunCity), yang merupakan anak syarikat milik penuh langsung Sunway, manakala baki 16% pegangan dimiliki oleh Greenwood Capital Private Limited.

Selaras dengan penyenaraian yang dicadangkan, Sunway Healthcare memaklumkan, pihaknya bercadang melaksanakan pecahan saham iaitu satu saham kumpulan akan dipecahkan, menjadikan jumlah sahamnya meningkat kepada 10.93 bilion unit.

Selepas pecahan saham tersebut, SunCity akan mengagihkan saham-saham tersebut kepada Sunway dan pemegang saham yang layak melalui dividen dalam bentuk sekuriti (dividen-in-specie) berdasarkan satu saham Sunway Healthcare bagi setiap 10 saham Sunway yang dimiliki.

"Selari dengan pengagihan yang dicadangkan itu, Sunway Healthcare turut mencadangkan tawaran awam permulaan (IPO) melibatkan 1.97 bilion saham kumpulan atau 17.2% daripada keseluruhan syarikat penjagaan kesihatan tersebut, yang terdiri daripada penjualan sehingga 1.4 bilion saham sedia ada dan terbitan awam sebanyak 575.01 juta saham baharu," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Bahagian runcit bagi IPO itu akan melibatkan 230 juta saham yang diperuntukkan kepada orang awam di Malaysia, dengan 115 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera.

Sebanyak 115 juta saham juga akan diperuntukkan kepada kakitangan, pengarah dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan melalui peruntukan borang merah jambu.

Sementara itu, tawaran institusi akan melibatkan 1.63 bilion saham, dengan 747.51 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), manakala 881.1 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur institusi dan terpilih.

Menurut makluman tersebut, hasil daripada IPO akan digunakan bagi tujuan pembayaran balik pinjaman bank, modal kerja dan menampung yuran serta perbelanjaan berkaitan pelaksanaan penyenaraian.

Akhir sekali, Sunway Healthcare turut mencadangkan untuk mewujudkan Skim Opsyen Saham Pekerja (ESOS) yang akan memberikan pilihan kepada pengarah eksekutif dan kakitangan kumpulan yang layak.

“Jumlah maksimum saham Sunway Healthcare baharu yang boleh diperuntukkan di bawah cadangan ESOS ini tidak akan melebihi 5% daripada jumlah keseluruhan saham terbitan (tidak termasuk saham perbendaharaan, jika ada) pada bila-bila masa sepanjang tempoh pelaksanaan yang dicadangkan,” katanya. - DagangNews.com

standard