
KUALA LUMPUR 22 Dis – George Kent (Malaysia) Berhad memperoleh kontrak bernilai RM34.5 juta daripada Prasarana Malaysia Berhad bagi kerja reka bentuk, pembekalan, penghantaran, pengujian, pentauliahan serta jaminan sebuah mesin Pemprofilan Rel untuk Laluan Kelana Jaya (KJL).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata projek berkenaan telah bermula pada 16 Disember 2025 dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.
Kontrak tersebut melibatkan penyediaan satu unit mesin khusus yang digunakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan rel, sekali gus memperkukuh kebolehpercayaan dan prestasi sistem rel bandar berkenaan.
Penganugerahan ini turut mencerminkan keupayaan teknikal George Kent serta rekod prestasinya dalam menyampaikan penyelesaian kejuruteraan rel yang khusus.
Pengerusi Eksekutif George Kent, Tan Sri Tan Kay Hock berkata, pihaknya berbesar hati menerima kepercayaan Prasarana bagi melaksanakan projek itu.
“Syarikat berasa terhormat diberi kepercayaan oleh Prasarana untuk projek Laluan Kelana Jaya ini. Ia mencerminkan komitmen kami dalam menyampaikan penyelesaian kejuruteraan yang boleh dipercayai bagi meningkatkan prestasi sistem rel,” katanya.
Menurut beliau, George Kent menantikan kerjasama rapat dengan Prasarana bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan mencapai objektif ditetapkan.
Mengulas prospek masa hadapan, kumpulan itu kekal optimis terhadap peluang dalam sektor rel dan infrastruktur.
Dengan pengalaman luas serta kepakaran teknikal yang dimiliki, George Kent berada pada kedudukan yang kukuh untuk terus menyumbang kepada pembangunan dan kelestarian rangkaian pengangkutan awam Malaysia. - DagangNews.com

