
Sekitar bulan lalu, kecoh di media sosial mengenai kedatangan YouTuber dan Streamer terkenal, IShowSpeed ke Malaysia semasa jelajahnya di Asia Tenggara.
Selain bersiar-siar di sekitar bandaraya Kuala Lumpur, personaliti internet itu juga tidak melepaskan peluang untuk mencuba salah satu makanan ikonik di negara ini iaitu Ramly burger di sebuah gerai di Bangsar.
Kedatangan Speed yang mencuba burger daging spesial di ‘stall’ berkenaan menyebabkan gerai itu menjadi popular dengan serta-merta.
Gerai burger pernah didatangi Speed didakwa disita DBKL
Bagaimanapun, gerai yang dikenali sebagai Bob’s Burger itu tidak bertahan lama selepas tular satu video di media sosial yang mendakwa stall berkenaan telahpun disita oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @foodyfun5, gerai burger itu didakwa disita semalam (2 September).
Dalam video terbabit, kelihatan sebuah lori dan van milik DBKL sedang berada di sekitar tapak gerai terbabit.
Gerai burger viral dah takda, hanya tinggal tapak
Dalam video sama, gerai burger itu juga tidak lagi kelihatan, berkemungkinan sudahpun diangkut oleh pihak DBKL ke dalam lori.
“Gerai burger Ramly yang terkenal selepas IShowSpeed makan, kini disita penguatkuasa,” tulis di ruangan kapsyen.
Setakat artikel ini ditulis, video berdurasi 18 saat itu telah meraih lebih 80,000 tontonan dan 4,177 tanda suka di TikTok.
Semakan kami tidak menemui sebarang kenyataan rasmi dari agensi berkenaan berhubung dakwaan itu.
Stall burger ramli yang terkenal selepas IshowSpeed makan, kini di sita penguatkuasa #ishowspeed #burger #foodvalley #naya
Orang ramai beri pelbagai reaksi
Memindai ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memberi pelbagai reaksi selepas melihat video terbabit.
Ada yang tidak bersetuju dengan tindakan DBKL menyita gerai berkenaan dan ada pula yang sebaliknya.
Segelintir individu tidak menyalahkan pihak dewan bandaraya itu sekiranya gerai berkenaan ada melanggar peraturan. Sebagai contoh, tidak mempunyai lesen atau sebagainya.




Source:


