Gerakan koperasi diseru manfaat teknologi moden, sektor baharu

LocalBusiness & Finance
5 Oct 2026 • 4:56 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Gerakan koperasi diseru manfaat teknologi moden, sektor baharu

KALABAKAN: Gerakan koperasi di negeri ini diseru agar mengambil peluang meneroka teknologi moden dan sektor baharu, termasuk keselamatan dan keterjaminan makanan bagi meningkatkan pendapatan, sekaligus memanfaatkan anggotanya.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sabah, Awang Rusli Mohammad (gambar) berkata, SKM menyediakan pelbagai peluang bantuan dan pembiayaan yang boleh dimanfaatkan koperasi bagi mengembangkan aktiviti perniagaan masing-masing.

Menurutnya, SKM menyediakan kemudahan pinjaman sehingga RM30 juta kepada gerakan koperasi yang layak serta berpotensi mengembangkan penggunaan teknologi moden dalam operasi mereka.

Katanya, dalam bidang keselamatan makanan pula, koperasi boleh menceburi aktiviti seperti penternakan lembu, kambing dan ayam bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan makanan dari luar.

“SKM menyediakan pinjaman sehingga RM3 juta pada kadar faedah satu peratus bagi aktiviti berkaitan keselamatan makanan, tertakluk kepada syarat dan kemudahan yang ditetapkan,”katanya.

Justeru, beliau berharap peluang berkenaan dimanfaatkan oleh koperasi bagi mempelbagaikan aktiviti ekonomi, menjana keuntungan dan seterusnya memberikan dividen kepada anggota.

“Lebihan keuntungan koperasi juga boleh digunakan bagi melaksanakan program kebajikan seperti tabung pendidikan untuk anak anggota dan khairat bagi membantu anggota yang berdepan kesusahan,”katanya lagi.

Beliau mendedahkan setakat ini sudah ada tiga hingga empat koperasi yang memohon sektor tersebut dan pihaknya menjangkakan akan ada kelulusan bagi program keselamatan makanan pada tahun ini.

Awang Rusli berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Pengagihan Pendapatan Pertama Koperasi Pembangunan Murut Kalabakan Tawau Berhad (KPMKTB) bernilai RM235,000 di Pejabat Felda Kalabakan Tengah, di sini, pada Sabtu. Hadir sama, Pengerusi KPMKTB, Asfaliza Batan.

Dalam perkembangan sama, Awang Rusli berkata Sabah kini mempunyai sebanyak 2,047 koperasi, namun hanya kira-kira 60 peratus yang aktif menjalankan pelbagai aktiviti, manakala 40 peratus yang tidak aktif terdiri daripada koperasi baharu, koperasi dorman dan koperasi yang sudah tidak mempunyai aktiviti.

Menurutnya, koperasi di Sabah terbabit dalam pelbagai sektor termasuk kewangan, borong dan runcit, pembinaan, penternakan serta pelancongan.

Dalam pada itu, beliau menyatakan sektor pelancongan berpotensi besar untuk diterokai oleh gerakan koperasi, terutamanya dalam menyokong persediaan negeri ini menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.

“Kita perlukan gerakan koperasi bergerak seiring dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menyediakan tempat pelancongan yang menarik dan kemudahan logistik  sempurna kepada para pelancong,” katanya.

Sementara itu, Awang Rusli turut menyeru anggota lembaga pengarah koperasi supaya meningkatkan kemahiran melalui latihan dan kursus yang dianjurkan Institut Koperasi Malaysia (IKMA) serta meneroka bidang perniagaan baharu.

“Nasihat saya, koperasi tidak boleh mengalah. Kita perlu bergerak cepat dan berniaga. Pada masa sama, beri peluang kepada anak-anak muda untuk tampil ke depan sebagai pemimpin dalam gerakan koperasi kita,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved