Melaka teroka pelancongan sukan

3 Oct 2026 • 3:22 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Melaka teroka pelancongan sukan

MELAKA – Melaka sedang meneroka bidang baharu dalam sektor pelancongan negeri itu, termasuk pelancongan sukan, bagi menarik lebih ramai pelancong melalui penganjuran acara bertaraf dunia, pada masa depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu antara bidang yang sedang diteliti dan dikaji dalam merancang pembangunan sektor pelancongan negeri berkenaan untuk tahun depan.

“Antara yang kita sedang teliti dan kaji ialah sektor sukan pelancongan, sukan-sukan bertaraf dunia akan diminta untuk diadakan di negeri Melaka.

“Dari segi kemudahan, Melaka sentiasa bersedia memanfaatkan apa juga peluang yang diberi untuk menjadi penganjur utama acara sukan bertaraf dunia,” katanya kepada pemberita di Banda Hilir, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan pelepasan perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) peringkat ketujuh dari Melaka ke Batu Pahat, Johor.

Ab Rauf berkata, penganjuran LTdL di Melaka turut menunjukkan minat orang ramai dan pelancong terhadap acara sukan, sekali gus membuka ruang untuk sukan dijadikan sebagai antara tarikan baharu pelancongan negeri.

Beliau berkata, selain sukan berbasikal, sukan pemotoran juga boleh dijadikan antara ikon kepada tarikan baharu bagi pelancong yang mempunyai minat dalam bidang sukan.

“Kita dapat lihat bukan sahaja sukan basikal, sukan pemotoran juga akan dijadikan sebagai ikon kepada daya tarikan baru pelancong sukan pada masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, Melaka berharap dapat melahirkan tokoh-tokoh sukan terbaik bertaraf dunia dari negeri itu bagi mengangkat martabat Melaka pada peringkat antarabangsa.

Beliau berkata usaha itu juga dapat melengkapkan identiti Melaka sebagai negeri bersejarah yang mempunyai pelbagai tarikan pelancongan.

Sementara itu, beliau berkata Melaka merekodkan 11.2 juta pelancong setakat Ogos tahun ini berdasarkan pendaftaran di sektor penginapan dan tempat-tempat pelancongan dan jumlah itu dianggarkan menyumbang RM11.32 bilion kepada ekonomi negeri.

Beliau berkata jumlah tersebut menunjukkan bahawa ekosistem pelancongan berjalan dengan baik di negeri itu bersempena dengan kempen Tahun Melawat Melaka 2.0 (TMM2.0).- Bernama

The post Melaka teroka pelancongan sukan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved