Gerakan mahu penjelasan larangan Waze

LocalPolitics
21 Oct 2026 • 5:43 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Gerakan mahu penjelasan larangan Waze

PETALING JAYA: Kerajaan perlu menjelaskan risiko keselamatan siber yang mendorong larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam, termasuk kemungkinan pendedahan data lokasi dan maklumat sensitif kerajaan.

Pemangku Ketua Pemuda Gerakan, Lee Boon Shian berkata, penjelasan itu penting susulan pelaksanaan larangan berkuat kuasa serta-merta dan memastikan penjawat awam mempunyai alternatif yang selamat dan praktikal.

Katanya, Gerakan turut mempersoalkan sama ada larangan itu melibatkan peranti rasmi atau peranti peribadi dan sama ada penggunaan peranti itu adalah ketika bertugas atau urusan peribadi.

“Sekiranya terdapat risiko keselamatan yang serius, kerajaan mesti menjelaskan bentuk ancaman tersebut dan sama ada ia turut memberikan implikasi kepada pengguna awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kerajaan memutuskan untuk melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze yang berpangkalan di Israel dalam kalangan anggota perkhidmatan awam berkuat kuasa serta-merta.

Arahan itu dibuat menerusi pemakluman rasmi yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar semalam, susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Boon Shian berkata, Gerakan menggesa Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menjelaskan asas penilaian risiko terhadap Waze serta mewujudkan piawaian yang konsisten bagi aplikasi navigasi dan aplikasi pihak ketiga lain yang digunakan sektor awam.

Mengenai saranan beralih kepada aplikasi tempatan seperti TuJu, Boon Shian berkata, penilaian bebas perlu dilakukan terhadap keselamatan, privasi, ketepatan navigasi dan kebolehpercayaan aplikasi itu sebelum digunakan sebagai alternatif.

“Keselamatan siber negara tidak boleh dipandang ringan, namun keputusan yang memberikan kesan kepada penggunaan teknologi dalam sektor awam mesti dilaksanakan secara telus, berasaskan penilaian risiko yang munasabah dan disertai alternatif yang praktikal,” katanya. –UTUSAN

The post Gerakan mahu penjelasan larangan Waze appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved