Geran bagi usahawan sektor perkhidmatan

LocalBusiness & Finance
24 Nov 2026 • 4:34 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Geran bagi usahawan sektor perkhidmatan

Kota Kinabalu: Sabah akan memperkenalkan inisiatif bantuan baharu kepada usahawan sektor perkhidmatan, termasuk pengusaha makanan dan minuman (F&B), mulai tahun depan, sekali gus memperluas skop geran kerajaan di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (Mindet) yang sebelum ini tertumpu kepada sektor pembuatan dan perindustrian.

Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick berkata inisiatif itu antara lima langkah baharu yang dicadangkan kementerian berkenaan untuk dimasukkan dalam Belanjawan Sabah 2027, susulan permintaan usahawan yang memerlukan sokongan kerajaan bagi perniagaan di luar sektor pembuatan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Festival Kopi Antarabangsa Sabah (SICF) 2026 edisi kesembilan di City Mall di sini, Ahad, yang menghimpunkan kira-kira 100 usahawan dan syarikat menerusi reruai pameran.

“Sebelum ini, geran yang disalurkan menerusi Mindet atau Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) tertumpu kepada sektor pembuatan dan perindustrian.

“Saya menerima banyak pandangan dan pertanyaan daripada usahawan yang ingin mengetahui bentuk bantuan bagi mereka yang terlibat dalam sektor perkhidmatan,” katanya.

Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri, merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun kerana bersetuju dengan cadangan inisiatif berkenaan.

Antara inisiatif lain yang dikenal pasti ialah bantuan kepada gerakan koperasi, termasuk koperasi yang terlibat dalam penanaman kopi, selain penjaja dan peniaga kecil yang menjual produk berasaskan kopi.

“Peniaga yang menjual produk berasaskan kopi di pasar seperti Tamu Minggu, Tamu Lido dan Tamu Donggongon boleh memohon bantuan menerusi persatuan penjaja dan peniaga kecil masing-masing,” katanya.

Ewon berkata langkah yang dicadangkan itu bertujuan memperkukuh sektor keusahawanan Sabah dengan memperluas bantuan kepada pelbagai kumpulan dalam rantaian bekalan kopi, daripada pengusaha tanaman kopi hingga pengusaha F&B dan peniaga kecil.

Beliau berkata Mindet menyokong penganjuran festival itu sebagai platform pemasaran, promosi dan pemadanan perniagaan antara pengusaha tanaman kopi, barista, pemilik kafe serta usahawan yang berhasrat membawa jenama kopi Sabah ke pasaran luar negeri dan antarabangsa.

“Saya berharap festival ini dapat diperluas sempena Tahun Melawat Sabah 2027. Kita akan terus menyokong produk kopi tempatan yang berpotensi bersaing dengan jenama lain,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved