hamden18/11/2026 - 17:05 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Nov - KJTS Group Berhad (KJTS) memperluas perniagaan perkhidmatan pengurusan tenaga bersepadu di Thailand ke sektor penjagaan kesihatan menerusi perjanjian selama 20 tahun dengan Synphaet Company Limited bagi membekalkan perkhidmatan penyejukan kepada Hospital Synphaet Ramintra di Bangkok.
Perjanjian itu dimeterai menerusi anak syarikat KJTS di Thailand, KJTN Engineering Company Limited, bagi mereka bentuk, membina dan mengendalikan loji penyejuk di Bangunan 2 hospital berkenaan, menggunakan model perkhidmatan Cooling as a Service (CaaS).
Di bawah perjanjian itu, KJTN akan membiayai perbelanjaan modal (capex) kira-kira THB22.7 juta bagi pembinaan loji serta pengurusan projek, selain bertanggungjawab mengendalikan dan menyelenggara kemudahan berkenaan serta membekalkan air sejuk selama 20 tahun.
Synphaet pula akan membayar caj bulanan tetap bagi bekalan air sejuk, selain caj berubah berdasarkan penggunaan yang direkodkan melalui meter.
Pemilikan loji penyejuk itu akan dipindahkan kepada Synphaet selepas tempoh perjanjian berakhir, manakala bayaran bulanan perlu dibuat secara tertunggak bermula daripada penghantaran pertama air sejuk.
Projek itu merangkumi kerja menaik taraf sistem penyejuk sedia ada kepada sistem yang lebih cekap tenaga, termasuk penggantian beberapa peralatan utama.
Ia turut melibatkan pemasangan sistem kawalan loji bersepadu dengan pemantauan jarak jauh masa nyata, membolehkan operasi diselaraskan mengikut permintaan penyejukan dan keadaan cuaca.
Thailand tawar peluang pertumbuhan
Sistem pemeteran dan pemantauan juga akan digunakan bagi mengukur serta mengesahkan penggunaan dan prestasi loji berkenaan.
Pengarah Urusan KJTS, KC Lee berkata, kepakaran serta pengalaman operasi jangka panjang KJTS akan menjadi faktor penting dalam memastikan prestasi loji sepanjang tempoh perjanjian 20 tahun itu.
Katanya, pasaran Thailand terus menawarkan peluang pertumbuhan kepada kumpulan itu, khususnya apabila model CaaS mula diperluas melangkaui sektor hotel.
Sehubungan itu, KJTS berhasrat memperluas penglibatannya dengan hospital, hotel dan bangunan komersial lain di Thailand, termasuk menyokong hospital Synphaet serta penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan lain di negara berkenaan.
KJTN telah beroperasi di Thailand sejak 2021 dan memperoleh kontrak penyejukan jangka panjang pertamanya dengan Central Group pada 2024 bagi Hotel Centara Grand di CentralWorld, Bangkok.
Pengarah KJTN, Khun Kitti Chungsawanant berkata, perjanjian dengan Synphaet dibina berasaskan kepercayaan yang diperoleh melalui projek terdahulu dalam sektor hotel. - DagangNews.com





