
LAHAD DATU: Warga sekolah khususnya di daerah ini digesa terus memperkukuh kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui program Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).
Ketua Polis Daerah ACP Dzulbaharin Ismail berkata program PPS memainkan peranan penting dalam usaha untuk mengekang salah laku disiplin, jenayah dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar.
“Kejayaan program berkenaan bergantung sepenuhnya kepada komitmen yang diberikan oleh semua pihak.
“Bagaimanapun semua PPS disarankan mengikuti garis panduan pelaksanaan ditetapkan yang secara tidak langsung berupaya mendorong pegawai dilantik mampu memberi tanggungjawab dan komitmen lebih efektif dalam aspek pencegahan jenayah di sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perjumpaan bersama 87 PPS bagi daerah Lahad Datu yang terdiri daripada Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Polis pada Isnin.
Menurut Dzulbaharin objektif perjumpaan itu adalah bertujuan mengukuhkan jalinan kolaborasi strategik antara polis daerah dan warga sekolah.
“Selain itu perjumpaan sama juga mampu memperkasakan peranan PPS serta mengenal pasti ruang dan peluang untuk memperkukuh peranan PPS sebagai rakan strategik sekolah dalam menangani isu disiplin, keselamatan mahupun pembangunan sahsiah murid.
“Kita turut membincangkan isu semasa dan berkongsi maklumat berkaitan data kes-kes jenayah yang melibatkan pelajar serta langkah-langkah pencegahan dan pemulihan yang boleh diambil secara bersama,” ujarnya.


