
LAHAD DATU: Rakyat khususnya di daerah ini menyambut baik langkah kerajaan yang memperkenalkan penyelarasan subsidi minyak bersasar khas untuk warganegara atau Budi Madani Ron95 (Budi95).
Sahlan Arsalam, 37, berkata, pelaksanaan inisiatif Budi95 yang menggunakan semakan melalui kad pengenalan bersama lesen memandu ini jelas membuktikan bahawa kerajaan berjaya menterjemahkan hak istimewa rakyat Malaysia.
Katanya, subsidi bersasar ini membolehkan keistimewaan dinikmati sepenuhnya oleh rakyat tanpa perlu lagi dikongsi bersama bukan warganegara.
Melalui inisiatif ini, katanya kerajaan juga dapat menilai secara terus kadar penggunaan bahan bakar awam rakyat Malaysia mengikut jenis kenderaan masing-masing tanpa berlaku sebarang ketirisan.
“Sebaiknya, sistem ini dipertingkatkan dengan penggunaan teknologi pengecaman wajah atau face ID bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan kad pengenalan ketika pembelian.
“Kita juga berharap agar subsidi ini dapat diperluaskan ke kawasan pedalaman melalui projek penghantaran khas atau ‘drumming’ agar semua rakyat dapat menikmatinya tanpa terkecuali,” jelasnya.
Dalam pada itu, Sahlan turut berharap agar usaha ini dapat diperluaskan kepada barangan asas lain, termasuk minyak masak dalam paket (1kg).
Katanya, di Lahad Datu, masih berlaku masalah kekurangan minyak masak bersubsidi meskipun daerah ini mempunyai kilang pemprosesan yang banyak.
Justeru itu, beliau yakin langkah kerajaan seumpama ini dapat memperkukuh dasar subsidi bersasar dan memberi manfaat besar kepada rakyat di seluruh negara.
Sementara itu, Hany Syuqrieyan berkata, pelaksanaan program Budi95 ini membawa pelbagai manfaat kepada rakyat.
Katanya, inisiatif ini dapat membantu mengurangkan beban kos sara hidup, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang menggunakan bahan api untuk keperluan harian.
Inisiatif ini juga katanya dapat memastikan subsidi diagih secara lebih bersasar agar ketirisan dapat dielakkan.
“Rakyat juga menikmati penjimatan daripada subsidi yang mana boleh digunakan untuk perbelanjaan lain seperti pendidikan dan kesihatan.
“Langkah ini turut membolehkan kerajaan menyalurkan lebih banyak dana kepada pembangunan ekonomi dan peningkatan kemudahan awam,” katanya.
Tambah Hany, inisiatif ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat sambil memastikan kestabilan ekonomi negara.
Bagi Barlianta Abd Hakim, pelaksanaan inisiatif Budi95 dapat meningkatkan kecekapan fiskal negara apabila perbelanjaan subsidi dikawal dengan lebih berkesan.
Katanya, melalui pengurusan subsidi yang tersusun, kerajaan mempunyai ruang untuk membelanjakan lebihan dalam aspek penting yang lain seperti kesihatan dan pendidikan.
Program ini, katanya, juga dapat membina keyakinan rakyat terhadap kerajaan serta memperkukuh daya saing negara melalui dasar ekonomi yang stabil.
Secara keseluruhannya, Barlianta berkata inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan hak rakyat sentiasa terpelihara tetapi juga memastikan pertumbuhan negara terus mampan.
Sementara itu, Hairul Anuar Sadon mencadangkan agar inisiatif ini dilaksanakan dengan mengapungkan harga terlebih dahulu sebelum diberikan tunai kepada golongan B40 dan M40 seperti yang dilaksanakan sebelum ini.
Katanya, mekanisma ini dapat memastikan bahawa ianya akan sampai kepada mereka yang benar-benar layak menerimanya.
“Penggunaan mekanisma yang tepat dapat memastikan tidak timbul sebarang masalah atau isu seperti pengagihan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) sebelum ini,” tambahnya.

