Polis Ranau teruskan usaha cegah buli di sekolah

LocalPolitics
8 Sep 2025 • 4:13 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

RANAU: Polis di daerah ini meneruskan usaha mencegah kejadian buli dalam kalangan pelajar melalui lawatan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) ke sekolah-sekolah sekitar Ranau.

Lawatan itu bertujuan mengukuhkan hubungan antara Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan warga sekolah, meningkatkan kesedaran berkaitan keselamatan serta jenayah, selain mendapatkan maklum balas berhubung isu disiplin dan kes buli.

Inisiatif seumpama ini juga mencerminkan komitmen semua pihak dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara.

Baru-baru ini, Sekolah Kebangsaan (SK) Kituntul, Ranau menerima kunjungan mesra PPS Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, Koperal Sabliron Sakimin selama hampir sejam. Kehadiran beliau disambut mesra Guru Besar SK Kituntul, Felicia Gabriel.

Setakat ini, pihak sekolah memaklumkan tiada maklumat atau masalah jenayah dilaporkan melibatkan pelajar mahupun kakitangan sekolah.

Pihak sekolah turut menghargai keprihatinan serta sokongan berterusan daripada IPD Ranau dan berharap kerjasama itu dapat diperkukuh bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang selamat, kondusif dan positif.

Dalam usaha membanteras budaya buli, sebelum ini IPD Ranau turut terlibat secara aktif dalam Pelancaran Minggu Anti-Buli 2025 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ranau.

Minggu Anti-Buli MRSM Ranau 2025 yang dipenuhi pelbagai aktiviti berkaitan menjadi simbol dan inisiatif membasmi budaya buli dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Antara pengisian program berkenaan termasuk pameran poster antibuli, ceramah kesedaran, ikrar antibuli, bacaan ikrar antibuli, anugerah ikon personaliti, persembahan puisi bertajuk “Stop Bullying, Spread Love” dan pelbagai aktiviti kesedaran lain.

Selain itu, turut diadakan slot Budaya (Bertanggungjawab) MRSM, ceramah bertajuk “Jenayah Buli Dalam Kalangan Pelajar dan Implikasi Undang-undang” serta Tazkirah Maghrib dan Slot Moral bertajuk “Lidahmu Amanah, Bukan Senjata” yang disampaikan guru kepada semua pelajar.