KUALA LUMPUR – Polis sedang meneliti secara menyeluruh dakwaan kewujudan kegiatan ‘mafia korporat’, termasuk mengenal pasti modus operandi dan rangkaian yang dipercayai terlibat dalam aktiviti berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan yang dijalankan oleh polis di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).
"Siasatan turut melibatkan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi memastikan tindakan lebih berkesan dapat diambil.
"Proses siasatan kini berada pada peringkat awal dengan fokus diberikan kepada pengumpulan maklumat dan bukti sebelum langkah seterusnya dilaksanakan terhadap individu berkaitan.
“Kertas siasatan telah dibuka dan proses siasatan sedang berjalan. Pihak polis akan mengenal pasti modus operandi terlebih dahulu serta mengumpul bukti berkaitan sebelum memanggil individu yang terlibat,” katanya.
Saifuddin berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri sambutan Hari Polis ke-219 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini pada Rabu.
Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Saifuddin berkata, sebarang tindakan termasuk sekatan perjalanan terhadap individu berkaitan hanya akan diputuskan selepas siasatan mencapai tahap tertentu.
“Sama ada perlu menyekat pergerakan atau mengambil tindakan lain, kita serahkan kepada proses siasatan. Saya yakin dengan keupayaan pasukan polis dalam mengendalikan kes ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata perkembangan terkini termasuk jumlah aset yang mungkin terlibat akan dimaklumkan dari semasa ke semasa selepas penelitian dibuat.
Pada 19 Mac lalu, polis mengesahkan ahli perniagaan, Victor Chin Boon Long yang didakwa terbabit dengan 'mafia korporat' kini berada di luar negara.
Mohd Khalid dalam sidang akhbar memaklumkan usaha sedang giat dijalankan, polis mendapatkan kerjasama dari banyak pihak yang berkaitan bagi siasatan kes tersebut.
Pada 16 Mac lalu, polis mengesahkan telah menyerbu beberapa premis milik Victor di sekitar Kemensah dan Sungai Long, Kajang.
Mohd Khalid dilaporkan berkata, serbuan bersama SC itu dilaksanakan bagi membantu siasatan kes di bawah AMLA.
Terdahulu media melaporkan mengenai serbuan dijalankan terhadap premis milik Victor berdasarkan maklumat sumber.
Laporan menyatakan, antara barangan berharga dirampas ketika serbuan adalah dua kereta, jam tangan mewah, barang kemas, wang tunai ringgit dan mata wang asing selain dokumen berkaitan siasatan.
Memetik laporkan itu juga, Victor dan isterinya tiada di rumah ketika serbuan dibuat namun tiga pembantunya berada di lokasi berkenaan.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan memberitahu Kabinet mengarahkan beberapa agensi penguat kuasa termasuk polis, SC, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meneruskan siasatan terperinci berhubung isu manipulasi korporat.
