Ghairah beri hibah tinggi hingga jejas kewangan TH

LocalBusiness & Finance
29 Jul 2026 • 8:52 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ghairah beri hibah tinggi hingga jejas kewangan TH

PETALING JAYA: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendapati antara faktor yang menyebabkan Lembaga Tabung Haji (TH) menghadapi krisis kewangan sebelum ini adalah disebabkan pembayaran hibah yang tinggi.

Menerusi laporan penuh RCI, TH ghairah membayar agihan keuntungan yang tinggi sejak 2014 hingga 2017, ia melampaui kemampuan kewangan institusi tersebut.

Menurut laporan itu, pembayaran agihan keuntungan yang tinggi sejak sebelum 2018 telah menyebabkan rizab TH menyusut.

“Pembayaran agihan keuntungan yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka sekiranya agihan keuntungan yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” kata laporan itu.

Mengulas lanjut, RCI berkata, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit TH menurun daripada kira-kira RM73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan kepada RM69 bilion pada akhir 2019.

“TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” katanya.

Kesan daripada tindakan tersebut, RCI berkata, TH terpaksa mengambil risiko pelaburan yang berlebihan berbanding dengan apa yang sewajarnya.

“Adalah didapati pelaburan TH lebih cenderung kepada ekuiti yang terdedah kepada turun naik pasaran,” katanya.

Selain itu, RCI menyifatkan ketidaktegasan Jabatan Audit Negara (JAN) turut mendorong krisis kewangan TH.

Katanya, RCI mendapati bahawa penyata kewangan LTH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan tentang ‘Emphasis of Matter’.

Jelas bahawa JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan TH. Sepatutnya untuk tahun kewangan 2017, JAN tidak sepatutnya memberi Sijil Audit Bersih. Perkara-perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

“Tanpa Sijil Audit Bersih, TH tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan tahunan pada kadar 4.50 peratus dan agihan keuntungan haji 1.75 peratus yang telah menelan belanja
sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017,” katanya.

Tambah suruhanjaya itu, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur LTH berkaitan pemberian keuntungan yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

“Pegawai JAN telah menyatakan bahawa JAN tidak bertanggungjawab ke atas pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang dibuat oleh TH.

“Kenyataan tersebut adalah tidak selari dengan tanggungjawab JAN dalam mengaudit sesebuah badan berkanun. JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan TH,” katanya.

Selain daripada dua faktor ini, RCI turut menggariskan kreatif dalam amalan perakaunan, visi TH sebagai Tonggak Ekonomi Ummah dan Tanggungan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) sebagai antara faktor mendorong krisis kewangan berlaku.-UTUSAN

The post Ghairah beri hibah tinggi hingga jejas kewangan TH appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved