Tabung Haji rugi RM10b dari 2014 hingga 2020

LocalBusiness & Finance
30 Jul 2026 • 6:51 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tabung Haji rugi RM10b dari 2014 hingga 2020

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) rugi kira-kira RM10 bilion susulan kegagalan mematuhi peraturan, kelemahan tadbir urus dan kesilapan pelaburan yang berlaku dalam tempoh 2014 hingga 2020. 

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi TH, Tan Sri Rashid Hussain yang pernah menganggotai Suruhanjaya Diraja (RCI) kepada Jemaah Menteri, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Se­ri Anwar Ibrahim berkata, TH mengalami kerugian kira-kira RM10 bilion itu akibat pelaburan yang tidak mematuhi peraturan dan kelemahan dalam tadbir urus sejak 2014. 

Beliau berkata, pihaknya me­nyerahkan tindakan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian, penipuan atau salah guna kuasa dalam TH.

“Tadi Pengerusi TH yang pernah jadi ahli Suruhanjaya Diraja. Dia beri taklimat kepada Jemaah Menteri bahawa TH rugi RM10 bilion sebab tidak ikut peraturan, sebab pelaburan salah, sebab banyak masalah berlaku sejak 2014.

“Pada tahun 2014, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) menulis kepada Tabung Haji ada pelanggaran, tetapi tidak dipedulikan, akhirnya rugi,” katanya ketika berucap pada Majlis Minum Petang Bersama PMX di DUN Chennah Simpang Durian, Jelebu semalam.

Anwar berkata, justeru itu siasatan akan dijalankan oleh agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak berkaitan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

“Ramai dah pergi haji dan pergi umrah. Wang haji dia ditipu. Saya tak mahu tuduh sesiapa. Biar PDRM, SPRM dan BNM siasat. Semua akan disiasat.

“Kalau ada bukti, dakwa, biar masuk mahkamah dan biar masuk penjara kalau salah. Itu aturan negara ini,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan tidak mahu membuat tuduhan terhadap mana-mana pihak dan menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada pihak berkuasa.

“Saya bukan nak cakap pasal Tabung Haji. Saya nak cakap soal negara kita. Tapi yang salah kita.

“Kita ada kuasa, buatlah yang terbaik. Kalau nak tolong rakyat, tolong waktu ada kuasa. Masa ada kuasa buatlah yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, TH memaklumkan, pihaknya telah melaksanakan 75 peratus daripada 25 syor RCI berhubung isu yang berlaku bagi memperkukuh tadbir urus institusi itu, manakala baki syor kini dalam proses pelaksanaan.

“TH juga telah memulihkan kunci kira-kira, membina rizab, dan berjaya meningkatkan pengagihan keuntungan kepada 3.5 peratus, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun. 

“Di samping itu, TH berjaya mengekalkan kos haji pada kadar RM33,300 seorang selama tiga tahun berturut-turut,” katanya dalam kenyataan.

TH berkata, pihaknya komited untuk melindungi kepentingan para pendeposit, mengukuhkan kepercayaan awam, serta memastikan institusi ini terus beroperasi dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.

RCI TH dilakukan bertujuan untuk menyiasat isu pengurusan dan melindungi kepentingan pendeposit khususnya bagi menilai aspek tadbir urus dan kewangan institusi tersebut bagi tempoh 2014 hingga 2020.-UTUSAN

The post Tabung Haji rugi RM10b dari 2014 hingga 2020 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved