RCI Tabung Haji: Ahli politik aktif tidak wajar terajui TH

LocalPolitics
29 Jul 2026 • 11:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RCI Tabung Haji: Ahli politik aktif tidak wajar terajui TH
Individu yang masih aktif dalam politik disyorkan tidak lagi dilantik sebagai Pengerusi atau Ahli Lembaga TH bagi memastikan institusi itu bebas daripada persepsi campur tangan politik.

KUALA LUMPUR – Individu yang masih aktif dalam politik disyorkan tidak lagi dilantik sebagai Pengerusi atau Ahli Lembaga Lembaga Tabung Haji (TH) bagi memastikan institusi itu bebas daripada persepsi campur tangan politik.

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dalam laporannya menyatakan semakan mendapati beberapa Ahli Lembaga TH dalam tempoh siasatan antara 2014 hingga 2020 terdiri daripada individu yang masih aktif dalam politik.

Menurut laporan itu, antara yang dikenal pasti ialah Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah pada 2011 sebelum menjadi Pengerusi TH dari 2013 hingga 2018 ketika beliau juga merupakan Ahli Parlimen Baling dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Laporan sama turut menyenaraikan Tan Sri Badruddin Amiruldin yang menganggotai Lembaga TH dari 2005 hingga 2018, selain pernah menjadi Ahli Parlimen Yan/Jerai dari 2004 hingga 2008 dan memegang jawatan Pengerusi Tetap Perhimpunan Agung UMNO.

Selain itu, Datuk Rosni Sohar turut berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah TH dari 2014 hingga 2018 ketika masih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Bernam serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi dan Setiausaha Wanita UMNO Malaysia sejak 2013.

ARTIKEL BERKAITAN: Laporan RCI TH setebal 211 halaman diterbitkan

RCI Tabung Haji: Panel Pelaburan TH perlu diperuntukkan semula dalam Akta 535

RCI Tabung Haji: Krisis berpunca daripada kelemahan tadbir urus, bukan salah guna kuasa

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerbitkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung siasatan terhadap isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Dokumen setebal 211 halaman dalam format dokumen mudah alih (PDF) itu dimuat naik di laman web JAKIM malam ini dan mengandungi ringkasan eksekutif, empat bab utama serta senarai ekshibit berkaitan siasatan.

Ia turut mengandungi penemuan siasatan dan syor penambahbaikan pengurusan dan operasi TH untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam laporan sama, RCI berpandangan pembabitan ahli politik dalam pengurusan TH boleh menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat.

Menurut laporan itu, pertentangan ideologi politik yang semakin ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan terdapat pihak menjadikan keputusan Lembaga TH sebagai bahan kritikan sehingga menjejaskan kredibiliti institusi berkenaan.

Sehubungan itu, RCI mengesyorkan Pengerusi dan Ahli Lembaga TH tidak lagi dilantik daripada kalangan ahli politik yang masih aktif.

"Jika seseorang yang dilantik sebagai Pengerusi atau Ahli Lembaga didapati terbabit secara aktif dalam politik, beliau hendaklah meletakkan jawatan atau digugurkan daripada jawatan tersebut," menurut laporan itu.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved