liza05/01/2026 - 13:11 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Jan – Guan Huat Seng Holdings Bhd (GHS Holdings), syarikat pengeluar dan pengilang produk makanan berpangkalan di Melaka menyasarkan untuk mengumpul RM30 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 22 Jan 2026.
GHS Holdings berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak RM12 juta atau 40 peratus akan digunakan untuk membiayai sebahagian penubuhan kompleks bersepadu baharu di Batu Berendam, Melaka.
“Selain itu, RM9 juta lagi akan diperuntukkan bagi membiayai sebahagian penubuhan kilang baharu di Krubong.
“RM3 juta pula akan digunakan sebagai modal kerja, RM1.5 juta bagi perbelanjaan pemasaran dan RM4.5 juta untuk menampung perbelanjaan penyenaraian,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Guan Huat Seng meterai perjanjian taja jamin dengan TA Securities bagi IPO di Pasaran ACE
Sementara itu, Pengarah Urusan GHS Holdings, Yeo Tien Ee berkata hasil daripada IPO tersebut dijangka dapat meningkatkan kecekapan operasi kumpulan serta menyokong pertumbuhan masa hadapannya.
“Pada masa yang sama, kami kekal memberi tumpuan kepada peluasan penawaran produk, mengukuhkan hubungan dengan pelanggan sedia ada serta meneroka peluang pasaran baharu di dalam dan luar Malaysia.
“Strategi pertumbuhan kami berteraskan disiplin, amalan dan pemahaman yang jelas terhadap kekuatan kami dalam industri perdagangan pengedaran produk makanan dan minuman di Malaysia,” katanya ketika berucap dalam ucapan alu-aluannya pada majlis pelancaran Prospektus IPO GHS Holdings, di sini hari ini.
Menurut prospektus itu, IPO berkenaan melibatkan 141 juta saham biasa yang terdiri daripada terbitan awam sebanyak 120 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 21 juta saham sedia ada, yang mewakili 29.78 peratus daripada modal saham terbitan diperbesarkan kumpulan sebanyak 473.50 juta saham biasa.
Di bawah terbitan awam tersebut, sebanyak 23.80 juta saham akan diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, manakala 14 juta saham akan ditawarkan kepada pengarah, pekerja yang layak serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.
“Sementara itu, sebanyak 59.20 juta saham akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, manakala 23 juta saham lagi akan diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih,” katanya.
Tawaran untuk jualan melibatkan 21 juta saham pula akan dibuat melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Berdasarkan modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 473.50 juta saham dan harga IPO 25 sen sesaham, kumpulan itu diunjurkan mencapai permodalan pasaran sebanyak RM118.38 juta.
Permohonan bagi terbitan awam dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada 9 Jan 2026. TA Securities Holdings Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO ini. - DagangNews.com

