GIIB sasar gandakan kapasiti pengeluaran getah kepada 30,000 tan setahun menerusi kerjasama dengan Zhisheng

LocalBusiness & Finance
6 Aug 2026 • 3:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

GIIB sasar gandakan kapasiti pengeluaran getah kepada 30,000 tan setahun menerusi kerjasama dengan Zhisheng Image from: GIIB sasar gandakan kapasiti pengeluaran getah kepada 30,000 tan setahun menerusi kerjasama dengan Zhisheng amree06/08/2026 - 15:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 OgosGIIB Holdings Berhad menyasarkan peningkatan kapasiti pengeluaran getah kompaun sebanyak tiga kali ganda kepada 30,000 tan setahun tanpa komitmen perbelanjaan modal besar.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, langkah itu berpotensi dicapai melalui kerjasama strategik anak syarikatnya, GIIB Rubber Compound Sdn Bhd (GRC) dengan Zhisheng Rubber Technology Sdn Bhd.

 

Ujarnya, semua perbelanjaan modal (capex) yang berkaitan dengan kerja pemasangan jentera baharu berteknologi tinggi serta naik taraf peralatan sedia ada akan ditanggung sepenuhnya oleh Zhisheng.

 

"Kerjasama ini dilaksanakan menerusi perjanjian perkhidmatan pemprosesan dan bukannya perkongsian keuntungan, sekali gus tiada pembahagian hasil antara kedua-dua pihak tersebut," jelas GIIB.

 

Sebaliknya kata kumpulan itu, GRC akan membayar fi pemprosesan kepada Zhisheng bagi pengeluaran produk, manakala Zhisheng bertanggungjawab menyediakan mesin pemprosesan serta sokongan teknikal.

 

Pada masa sama, kedua-dua pihak memeterai perjanjian penyewaan membolehkan Zhisheng menggunakan Kilang 1, Kilang 1A dan keseluruhan tingkat bawah bangunan pejabat GRC di Nilai, Negeri Sembilan.

 

GIIB_DagangNews2026

 

Perjanjian sewaan itu ujar GIIB, bermula tiga tahun selepas operasi pengeluaran dimulakan dan boleh diperbaharui secara automatik bagi tiga penggal tambahan dengan keseluruhan sehingga 12 tahun.

 

"Kadar sewaan ditetapkan sebanyak RM50,000 sebulan bagi tempoh awal, sebelum disemak balik secara berperingkat kepada RM52,500, RM55,125 dan RM57,881.25 bagi setiap tempoh pembaharuan," tambahnya.

 

Sepanjang tempoh penyediaan dan pemasangan mesin katanya, Zhisheng diberikan penggunaan premis tanpa sewaan hingga operasi komersial bermula, namun perlu menanggung sendiri segala kos utiliti.

 

Di bawah kerjasama ini jelas GIIB, GRC akan membekalkan bahan mentah, bahan sokongan, pengangkutan serta tenaga kerja untuk mengendalikan operasi, manakala Zhisheng pula perlu menyediakan mesin.

 

Selain itu ujar kumpulan tersebut, syarikat berkenaan akan menjalankan pemasangan, menaik taraf peralatan dan memberi penyeliaan teknikal bagi meningkatkan tahap kecekapan pengeluaran produknya.

 

"Kerjasama ini dijangka mengukuhkan kedudukan syarikat dalam industri pembuatan getah kompaun menerusi peningkatan kapasiti, pengeluaran produk berkualiti tinggi untuk pasaran global," katanya.

 

GIIB turut mengesahkan kerjasama itu tidak menjejaskan struktur modal atau pegangan saham utama kumpulan dan sebarang perkembangan lanjut akan diumumkan kepada Bursa Malaysia. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved