
MELAKA: Menyelesaikan isu laluan yang terperangkap dalam birokrasi selama hampir 20 tahun dalam tempoh kurang dua tahun menjadi bukti calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Datuk Ginie Lim Siew Lin bukan sekadar kembali untuk menabur janji kosong.
Berbekalkan rekod kerja nyata dan pengalaman luas dalam pentadbiran negeri serta sektor pelaburan industri, Ginie mempertaruhkan keupayaan demi merungkai isu legasi tanah, perumahan dan ekonomi setempat yang masih membelenggu penduduk.
Beliau mengakui terdapat penduduk yang membangkitkan semula isu yang belum sempat diselesaikannya ketika berkhidmat dahulu.
Namun, katanya, beliau melihat teguran itu sebagai tanggungjawab untuk memastikan setiap perkara diberikan tindakan susulan.
“Ada juga penduduk yang membangkitkan semula masalah lama, termasuk perkara yang belum sempat saya selesaikan ketika berkhidmat dahulu. Saya akui perkara itu dan faham mereka mahu melihat hasil.
“Saya kembali bertanding dengan pengalaman serta hubungan kerja yang lebih luas untuk meneruskan usaha tersebut, di samping memastikan penduduk dimaklumkan tentang perkembangannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Ginie, penerimaan masyarakat sepanjang kempen cukup baik apabila penduduk di kampung, kawasan ladang dan Felda tampil berkongsi pandangan, masalah setempat serta harapan mereka untuk tempoh lima tahun akan datang.
Mengimbas rekod perkhidmatannya, beliau berkata, antara usaha yang pernah dilaksanakan adalah menyelaraskan kerjasama agensi kerajaan bagi menyiapkan jalan penghubung sepanjang lebih satu kilometer dari Kampung Melaka Pindah ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh dalam tempoh kurang dua tahun.
“Ia menyelesaikan masalah laluan yang berlarutan hampir 20 tahun, memudahkan penduduk berulang-alik ke tempat kerja dan membuka ruang kepada pembinaan rumah di sepanjang laluan berkenaan,” katanya.
Selain itu, beliau turut membantu penyelarasan bantuan kebajikan terus ke akaun bank penerima bagi mengelakkan warga emas dan ahli keluarga beratur di pusat khidmat serta menguruskan rayuan berkaitan tanah pertanian dan pelanjutan pajakan tanah kediaman.
Ginie berkata, khidmat kebajikan dan kemasyarakatan bersama pasukannya tetap diteruskan walaupun beliau tidak dicalonkan pada 2021 termasuk mengekalkan kerjasama dengan rakan-rakan di peringkat setempat.

TANAH, PERUMAHAN JADI KEUTAMAAN
Mengulas isu mendesak, beliau berkata, masalah pemilikan tanah di kawasan Felda, Projek Rumah Generasi Kedua di Felda Hutan Percha serta status tanah yang diusahakan pekebun kecil berhampiran empangan memerlukan hala tuju penyelesaian yang jelas.
Katanya, beliau mahu bekerjasama dengan penduduk dan agensi berkaitan bagi menyusun maklumat setiap kes, mengenal pasti punca kelewatan serta memastikan tindakan susulan dibuat secara teratur dengan perkembangan dimaklumkan kepada penduduk.
Beliau juga mahu menghubungkan latihan kemahiran dengan peluang pekerjaan sebenar melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Kira-kira 20 peratus pengundi Machap Jaya berumur bawah 30 tahun, iaitu sekitar 4,000 orang, jadi saya mahu mereka mendapat maklumat tentang keperluan industri melalui karnival kerjaya serta program TVET.
“Saya juga mahu membantu petani dan peniaga kecil meningkatkan hasil serta meluaskan pasaran melalui perusahaan kecil dan sederhana serta agroteknologi selain memperluas juga peluang latihan, pekerjaan dan perniagaan untuk golongan wanita,” katanya.
Pada masa sama, beliau memberi perhatian kepada kebajikan warga emas yang tinggal bersendirian, penduduk sakit dan ahli keluarga yang menjaga mereka menerusi kerjasama agensi kebajikan, pertubuhan setempat serta sukarelawan.
Bagi kemudahan asas, katanya, penyelenggaraan jalan, lampu jalan dan kemudahan masyarakat perlu dilaksanakan secara berperingkat, selain meneliti cadangan penduduk supaya sebuah stesen minyak diwujudkan lebih dekat dengan kawasan penempatan mereka.
PENGALAMAN UNTUK PEMBANGUNAN
Ginie berkata, pengalaman berkhidmat di Invest Melaka Berhad memberinya pendedahan kepada pembangunan industri, pelaburan dan latihan tenaga kerja termasuk penyertaannya dalam delegasi kerajaan negeri ke Institut Jerman-Malaysia pada 2023 bagi meninjau peluang kerjasama latihan kemahiran.
Beliau turut menyatakan kesediaan membentangkan perancangan secara terbuka apabila menjemput dua lagi calon di Machap Jaya untuk berdialog mengenai pembangunan kawasan itu bagi tempoh lima tahun akan datang supaya pengundi dapat menilai cadangan masing-masing.
“Saya berharap pengundi menilai saya berdasarkan kemampuan menyelesaikan masalah, kesungguhan membuat susulan dan bagaimana pengalaman yang saya kumpulkan boleh membawa hasil yang nyata kepada Machap Jaya,” katanya. – UTUSAN

PROFIL CALON
NAMA: Datuk Ginie Lim Siew Lin
UMUR: 45 tahun
ASAL: Machap Umboo, Melaka
KERJAYA:
– Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka (2018–2020)
– Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya (2018–2021)
– Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad
PENDIDIKAN:
– Ijazah Sarjana Dalam Bidang Kemiskinan dan Pembangunan, University of Sussex, United Kingdom (UK)
-Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Universiti Sains Malaysia (USM)
JAWATAN POLITIK: Ketua Penerangan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR)
The post Ginie Lim kembali dengan pengalaman, tekad selesaikan isu Machap Jaya appeared first on Utusan Malaysia.





![[VIDEO] Objek berapi ‘gegarkan’ langit beberapa negeri](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-05-at-10.14.34-AM-1024x608.jpeg)
