GISBH: Ahmad Samsuri menghadap Sultan Terengganu dalam masa terdekat

LocalPolitics
2 Oct 2024 • 2:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan mempersembahkan perkembangan isu GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dalam masa terdekat.

Ahmad Samsuri berkata, pertemuan itu bagi menyembah maklum mengenai perkembangan isu tersebut kepada Sultan Mizan yang merupakan ketua agama Islam di negeri ini.

"Saya rasa mungkin dalam masa terdekat ini (sembah perkembangan pada Sultan Terengganu).

"Dalam tempoh seminggu ini kita ambil langkah seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Terengganu di sebuah dewan di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, tindakan menyita peralatan perniagaan di premis GISBH perlu dijalankan mengikut peraturan sedia ada.

"Kita akan tengok dari segi peruntukan dalam undang-undang apa yang peringkat PBT boleh buat.

"Jadi biar kita ikut peraturan sebab kalau tidak ada risiko kena saman maka kita kena lebih cermat," ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai penggantungan lesen GISBH berdasarkan keputusan muzakarah dibuat, Ahmad Samsuri menyatakan pihaknya tidak mempunyai perkembangan berhubung isu tersebut setakat ini.

"Belum ada perkembangan lagi dan kita tidak boleh tengok isu lesen dan premis sahaja.

"Isu lain pun kita tengok supaya tidak timbul kelompongan dari segi penguatkuasaan yang boleh buka ruang kepada tindakan undang-undang lain.

"Jadi kami akan ambil sedikit masa (berhubung tindakan gantung lesen) supaya lebih cermat," jelasnya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, isu berkaitan doktrin fahaman GISBH akan dibincang Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang sejak 24 September lepas.

Pada 20 September, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan, ajaran yang dibawa juga adalah kesinambungan ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

Sejak Op Global dilaksanakan, lebih 300 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan dan 572 mangsa diselamatkan.