‘Go away’ Tuanku Muhriz murka, enggan jumpa Ismail Lasim

LocalPolitics
16 Oct 2026 • 5:35 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: ‘Go away’ Tuanku Muhriz murka, enggan jumpa Ismail Lasim

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menzahirkan kemurkaan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ismail Lasim berhubung krisis institusi diraja yang berlarutan di negeri itu.

Menerusi video berdurasi 50 saat yang tular di media sosial, Tuanku Muhriz enggan bertemu dengan Ismail, yang dipercayai mahu menghadap baginda selepas solat Jumaat di sebuah masjid di Kuala Pilah, hari ini.

Dalam video itu, Tuanku Muhriz mempersoalkan kenapa Ismail mahu menghadap baginda sedangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Juaseh itu sebelum ini menyatakan Tuanku Muhriz bukan lagi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

“Ismail Lasim telah tulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar (Raja-Raja) baru-baru ini, mengatakan keputusan yang dia buat dengan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) itu adalah sah dan saya bukan lagi yang Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Lepas tu datang hari ini nak jumpa saya buat apa?

“Selagi dia tak tarik balik apa yang dia kata itu, jangan datang jumpa saya.

“Go away, I don’t want to see you. Okay? Awak faham? Saya Yang di-pertuan Besar dan awak kata saya bukan” titah Tuanku Muhriz.

Ismail yang berbaju Melayu warna hijau bagaimanapun hanya mengangkat sembah, selepas ditegur oleh Tuanku Muhriz di tempat terbuka itu.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan kesahihan video yang tular itu dan tidak ada kenyataan daripada mana-mana pihak setakat ini.

Krisis institusi diraja Negeri Sembilan mula memuncak susulan kemunculan Proklamasi 19 April yang memecat Tuanku Muhriz dan mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.

Bagaimanapun keabsahan proklamasi tersebut ditolak mentah-mentah oleh Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 31 Julai dan 13 September, yang memutuskan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.

Pertikaian itu bertambah rumit apabila peguam Tuanku Muhriz menyifatkan tindakan Exco negeri sebagai cubaan “coup d’état” dan menghina mahkamah, manakala Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid menegaskan pentadbiran negeri tidak mempunyai kuasa mengatasi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Berikutan itu, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan yang berkuat kuasa pada 20 September dan pembatalan itu diwartakan pada 24 September.

Sementara Raja-Raja Melayu baru-baru ini menggesa pihak luar supaya tidak campur tangan atau mempolitikkan pertikaian berhubung takhta Negeri Sembilan, sebaliknya meminta perkara itu diselesaikan oleh pihak berkuasa yang berkaitan menerusi saluran undang-undang dan adat yang sewajarnya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad bagi pihak Raja-Raja Melayu, semua pihak yang terlibat digesa supaya bertindak dengan bijaksana, bersabar serta menghormati adab, adat dan martabat institusi diraja.

“Isu ini sama sekali tidak boleh dieksploitasi untuk kepentingan politik, meraih sokongan, meluaskan pengaruh atau memajukan agenda dalam perebutan kuasa,’’ katanya. - 16 Oktober, 2026.

The post ‘Go away’ Tuanku Muhriz murka, enggan jumpa Ismail Lasim appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved