KAMPAR – Kerajaan tidak pernah melupakan jasa dan pengorbanan golongan pesara perkhidmatan awam yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Beliau berkata, penghargaan terhadap pesara sentiasa menjadi keutamaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, setiap program turun padang yang dilaksanakan oleh jabatan kerajaan akan disertakan usaha untuk mendekati pesara sebagai tanda penghargaan atas jasa mereka.
"Jasa pesara tak kira apa pangkat mereka tetap kita hargai dan setiap kali ada acara turun padang dalam program-program turun padang.
"Kita cuba berusaha untuk bertemu dengan pesara-pesara sekurang-kurangnya menyatakan rasa terima kasih kerajaan kepada mereka yang telah menyumbang perkhidmatan kepada negara,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas Program Ziarah Cakna Sentuhan Kasih sempena Program Kampung dan Sekolah Angkat Madani Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) 2026 di Kampung Kota Bharu di sini pada Sabtu.
Dalam program tersebut, Wan Ahmad Dahlan berkesempatan menziarahi empat pesara perkhidmatan awam yang memerlukan bantuan.
Katanya, lawatan itu bertujuan menyampaikan sumbangan berupa bakul makanan serta peralatan berkaitan kesihatan bagi meringankan beban golongan berkenaan.
"Program seperti ini sedikit sebanyak dapat membantu pesara yang memerlukan, di samping mengeratkan hubungan antara kerajaan dan golongan pesara,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan program itu turut mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Perak.
Menurutnya, usaha seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa setiap kali program turun padang dianjurkan oleh jabatan kerajaan.

