Kampung Angkat Madani beri manfaat penduduk luar bandar

LocalPolitics
11 Apr 2026 • 1:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Wan Ahmad Dahlan (tiga dari kanan) turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir sempena Majlis Pelancaran Program Kampung dan Sekolah Angkat Madani JPA di Padang Sekolah Kebangsaan Kota Bharu pada Sabtu.
image is not available
Wan Ahmad Dahlan (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada penerima sempena Majlis Pelancaran Program Kampung dan Sekolah Angkat Madani JPA di Padang Sekolah Kebangsaan Kota Bharu pada Sabtu.

KAMPAR – [KEMAS KINI] Pelaksanaan Program Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Kampung Kota Bharu di sini memberi manfaat menyeluruh kepada komuniti setempat menerusi pembangunan infrastruktur, pendidikan serta kesejahteraan sosial.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, pendekatan tersebut membuktikan komitmen kerajaan memastikan setiap dasar yang dirangka dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar di peringkat akar umbi.

Menurutnya, di bawah Kampung Angkat Madani, antara manfaat yang diterima penduduk termasuk naik taraf kemudahan asas seperti masjid, dewan orang ramai, klinik kesihatan dan balai polis selain pembinaan mercu tanda kampung.

"Melalui Program Kampung Angkat Madani 2026, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 khusus untuk kampung ini. Kami mahu penduduk melihat perubahan nyata. Sebanyak lapan projek fizikal akan dilaksanakan segera. 

"Bukan itu sahaja, kami juga membawakan program bukan fizikal yang memfokuskan kepada jati diri. Program seperti gotong-royong, saringan kesihatan, dan sambutan perayaan akan terus diadakan sepanjang tahun bagi memastikan hubungan antara kerajaan dan rakyat kekal rapat seperti aur dengan tebing," katanya ketika berucap.

**media[3488188]**

Beliau berkata demikian sempena Majlis Pelancaran Program Kampung dan Sekolah Angkat Madani JPA di Padang Sekolah Kebangsaan Kota Bharu di sini pada Sabtu. 

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pengerusi Puspanita Cawangan Kecil Jabatan Perkhidmatan Awam Puan Sri Dr Azlifah Bahari.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perak, Pejabat Daerah dan Tanah Kampar serta semua agensi terlibat atas kerjasama erat yang mencerminkan pendekatan 'whole-of-government' dalam menjayakan inisiatif berkenaan.

Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim Nawar dipilih sebagai Sekolah Angkat Madani dengan peruntukan tambahan RM100,000 yang akan digunakan untuk menaik taraf makmal sains, bengkel reka bentuk dan teknologi (RBT) serta pembekalan komputer.

"Kita mahu melahirkan lebih ramai jurutera, doktor dan ahli sains daripada kalangan anak-anak Kota Bharu. Pihak Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) juga akan turun padang untuk memberikan motivasi dan bimbingan kepimpinan kepada mereka," katanya.

Dalam pada itu, pelaksanaan program berkenaan turut merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar secara inklusif selain memastikan tiada komuniti tercicir daripada arus pembangunan negara. 

Jelas Wan Ahmad Dahlan lagi, Kampung Kota Bharu turut mempunyai nilai sejarah tersendiri sebagai tempat kelahiran tokoh pejuang kemerdekaan, Dr Burhanuddin al-Helmi serta kartunis tersohor negara, Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai LAT.

Selain itu, kedudukannya yang berhampiran kawasan alam semula jadi turut membuka potensi pembangunan berasaskan ekopelancongan.