JERANTUT – [DIKEMAS KINI] Kedatangan Syawal wajar dimanfaatkan oleh umat Islam sebagai peluang terbaik untuk berbincang secara harmoni mengenai urusan pengurusan harta pusaka dalam kalangan ahli keluarga.
Pengerusi Pennawaris Sdn Bhd, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, musim perayaan yang menyatukan ahli keluarga merupakan waktu paling sesuai untuk memulakan perbincangan berkaitan pengurusan harta pusaka secara berhemah.
Menurutnya, ramai keluarga hanya menyedari kepentingan pengurusan pusaka selepas berlaku kematian, sedangkan perbincangan awal mampu mengelakkan pelbagai konflik dalam kalangan waris.
“Syawal adalah masa yang sangat bermakna kerana kebiasaannya ahli keluarga akan berkumpul.
**media[3464134]**
"Gunakanlah kesempatan ini untuk berbincang secara terbuka dan harmoni mengenai pengurusan pusaka supaya tidak timbul salah faham pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan dalam program khidmat masyarakat Kongsi Rezeki di Kampung Sungai Kiol di sini pada 14 Mac lalu.
Dalam program anjuran Pennawaris itu, seramai 61 keluarga Orang Asli mualaf menerima sumbangan bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, tepung, telur dan gula bagi membantu meringankan beban mereka menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
**media[3464135]**
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Pennawaris, Dr Sharen Alzalip serta Pengasas Pennawaris, Dr Noraini Ismail.
Nazlan berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dalam membantu masyarakat yang memerlukan.
Menurutnya, selain menyantuni komuniti setempat, program tersebut juga menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengurusan harta pusaka secara teratur.
“Isu harta pusaka sering menjadi punca perbalahan dalam keluarga jika tidak diurus dengan baik.
**media[3464136]**
"Oleh itu, kesedaran dan perancangan awal amat penting bagi memastikan hak waris dapat dipelihara dengan sebaiknya,” katanya.
Untuk rekod, Pennawaris Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat milik penuh Bumiputera yang menawarkan solusi perancagan harta dan pengurusan pusaka patuh syariah di Malaysia yang turut aktif memberi pendedahan kepada masyarakat bagi meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai kepentingan perancangan harta serta pengurusan pusaka.

