Google dilihat sedang mengembangkan kemampuan Google Files untuk menghasilkan ringkasan dokumen dengan menggunakan kecerdasan buatan (Al). Ciri ini berupaya untuk mengubah cara pengguna memahami maklumat. Pengguna juga akan diberikan beberapa tahap kawalan untuk tetapan pada ringkasan yang dijana.

Teknologi di sebalik keupayaan ciri ini adalah Gemini Nano yang merupakan sebuah model AI yang cukup efisien. Gemini Nano ini dijalankan secara langsung di dalam peranti pengguna sekaligus menjadikan proses ringkasan dokumen dapat dilakukan dengan lebih cepat tanpa menggunakan data internet.
Ciri ini dapat memudahkan pengguna dengan memberikan penjimatan masa untuk memahami isi dokumen. Sebagai contoh, melaluinya pengguna dengan cepat dapat mengetahui isi utama daripada setiap dokumen yang disimpan dalam Google Files tanpa perlu membacanya secara keseluruhan. Bukan itu sahaja, ia juga dapat membantu pengguna mencari maklumat spesifik dalam sesuatu dokumen dengan bantuan ringkasan AI bagi menemukan bahagian yang paling relevan.
Namun, Google masih lagi belum mengumumkan tarikh rasmi ciri ini tetapi diharapkan ciri ini akan segera tersedia untuk semua pengguna Android dalam masa yang terdekat. Buat masa ini ia hanya dapat diakses oleh sekumpulan kecil pengguna bagi tujuan ujian dalam versi APK.

