Spotify dan Instagram dikatakan sedang dalam kerjasama dan usaha untuk mengembangkan ciri menarik yang akan membolehkan pengguna berkongsi lagu dalam masa nyata di Instagram Notes. Menerusinya, pengguna boleh berkongsi secara terus lagu yang sedang diperdengarkan di Spotify di Instagram Notes. Ia adalah seakan sama dengan ciri Notes sebelum ini tetapi dengan sentuhan muzik.

Ciri baru ini akan memerlukan pengguna menghubungkan akaun Instagram mereka dengan Spotify. Kemudian, Spotify akan secara automatik membuat Notes baru setiap kali pengguna memainkan lagu. Notes akan menunjukkan tajuk lagu dan nama penyanyi yang sedang didengari. Ciri ini juga boleh sahaja dimatikan pada bila-bila masa. Sebelum ini, ciri perkongsian lagu di Notes perlu dilakukan secara manual dan pengguna perlu memilih setiap lagu yang ingin dikongsi.
Kami secara peribadi turut merasa teruja dengan ciri seumpama ini dan tidak sabar untuk menggunakannya kelak. Sayang sekali masih belum ada tarikh rasmi mengenai bilakah ciri ini akan dilancarkan kepada semua pengguna tetapi mungkin akan diberikan menerusi kemas kini yang akan datang.


