
Seperti dilaporkan sebelum ini, kini Google telah mula menawarkan kemudahan untuk para pengguna membawa sejarah perbualan dan juga memori daripada pelbagai aplikasi kecerdasan buatan janaan lain terus ke Gemini. Dengan langkah ini, sekiranya anda sebelum ini giat menggunakan ChatGPT atau Claude, tidak lagi perlu risau memori dan pelbagai perbualan hilang, sebaliknya boleh mengimport ia terus ke Google Gemini.

Untuk tujuan ini, Google menyediakan sebuah prom khas yang membolehkan anda mendapatkan memori daripada aplikasi ChatGPT atau Claude, dan seterusnya menambah ia ke Gemini. Sebaik sahaja ia dilakukan, memori Gemini dikemaskini, sekaligus membolehkan ia mengakses pelbagai memori sebelum ini, dan menyesuaikan perbualan untuk anda.
Langkah ini juga dijangka membolehkan lebih ramai beralih ke Gemini, dan menggunakannya dengan aktif. Salah satu kelebihan pada Gemini juga adalah disebabkan ia dibawah ekosistem Google, maka ia turut boleh mengakses GMail, dan pelbagai perkhidmatan Google lain yang sedia digunakan meluas oleh pengguna seluruh dunia.
Bagi anda yang ingin melakukan pemindahan, boleh merujuk ke laman Gemini Import Memory hari ini, dan memulakan peralihan anda dari perkhidmatan lain ke Gemini.



