Pada minggu lepas, Google telah memperkenalkan sistem operasi komputer riba terbaru mereka, iaitu Googlebook OS dan juga siri komputer riba Googlebook yang dibangunkan oleh jenama-jenama komputer riba seperti Acer, ASUS, HP, Lenovo dan sebagainya.
Melalui dokumen yang diperlihatkan oleh Google, sejumlah penawaran Google Chromebook kelak akan menerima kemaskini penaiktarafan sistem operasi ke Googlebook OS, dan setakat ini, kita tahu bahawa sistem operasi tersebut akan memerlukan komputer yang digerakkan cip pemprosesan Intel Core Ultra 300 “Panther Lake” ataupun Qualcomm Snapdragon X1/X2 Elite yang terbaru. Keperluan memori minima pula adalah sekurang-kurangnya 16GB, tidak jauh berbanding apa yang diperlukan oleh sistem operasi Microsoft Windows 11 dengan label “CoPilot+” mereka.

Walaupun begitu, setakat ini kita tidak tahu lagi bilakah komputer-komputer riba Chromebook ini akan menerima kemaskini naiktaraf tersebut, kerana walaupun ada sahaja komputer riba yang menggunakan komponen-komponen berkuasa ini, kebanyakan penawaran Chromebook di pasaran sekarang hadir dengan spesifikasi pertengahan ataupun rendah untuk membolehkan lebih ramai orang menggunakan komputer riba untuk tujuan produktiviti mudah yang tidak membebankan dompet.
Untuk melegakan kerisauan pengguna Chromebook, Google mengatakan bahawa mereka masih akan mengekalkan sokongan untuk sistem operasi ChromeOS sehingga 2034, manakala komputer riba Chromebook pula masih akan menerima sokongan sehingga 10 tahun selepas model komputer riba yang berkenaan dilancarkan.
Sumber: Google


