Bersempena dengan pelancaran platform komputer riba Googlebook semalam, Acer merupakan salah satu daripada jenama yang telah memperlihatkan penawaran mereka sendiri dengan komputer riba Acer Googlebook 14. Komputer ini juga merupakan satu-satunya model komputer riba Googlebook yang diperkenalkan yang hadir dengan rekaan tablet 2-dalam-1 setakat ini.
Bermula dengan paparan, Acer Googlebook 14 tampil dengan paparan skrin OLED sesentuh bersaiz 14.0 inci dengan resolusi 3K (2880×1800) dengan nisbah paparan 16:10 untuk paparan yang sedikit lebih tinggi untuk tujuan produktiviti.

Paparan ini juga dimuatkan dengan kaca Corning Gorilla Glass yang membantu paparan ini untuk memastikan ia tahan calaran dan retakan selama yang mungkin. Paparan ini juga dilihat mampu mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3 dan hadir dengan nilai kecerahan 500 nit dan menyokong teknologi DisplayHDR True Black.
Dari segi komponen pula, Acer Googlebook 14 tampil dengan pilihan cip pemprosesan Intel Core Ultra 7 355 dan juga Intel Core Ultra 5 325 “Panther Lake”, dengan pilihan memori LPDDR5X 16GB/32GB dengan storan SSD PCie 4.0 256GB dan 512GB.

Dari segi palam, komputer riba ini dimuatkan dengan satu palam Thunderbolt 4, dua palam USB 3.2 Gen-2 (10Gbps) Type-C dan satu palam audio 3.5mm. Dari segi sokongan teknologi nirwayar pula, Acer Googlebook 14 tampil dengan sokongan untuk sambungan internet nirwayar WiFi 7 dan Bluetooth 6.0. Butang kuasa komputer riba ini juga tampil dengan fungsi pengimbas cap jari terbina dengan sokongan untuk log masuk yang lebih mudah.
Acer Googlebook 14 merumahkan bateri bersaiz 71.4WHr dengan jangkahayat bateri selama 16 jam dengan satu pengecasan penuh apabila digunakan untuk melayar web dan 14 jam apabila memainkan video secara berpanjangan.

Seperti kebanyakan komputer riba Acer hari ini, khususnya dalam siri Acer Swift, Acer Googlebook 14 menggunakan aloi gabungan aluminum dan magnesium untuk rangkanya, dan ini membolehkan komputer riba ini hadir dengan berat seringan 1.14kg sahaja.
Rekaan komputer riba ini sebagai sebuah convertible laptop juga membolehkan bahagian paparan dipusing 360 darjah untuk membolehkannya digunakan sebagai sebuah komputer riba, tablet, khemah dan juga berdiri.

Bersama-sama dengan sistem operasi Googlebook OS yang membolehkan pengguna peranti pintar Android untuk menyambungkan peranti mereka ke komputer riba ini sebagai sebuah ekosistem teknologi menyeluruh, setiap pembelian komputer riba ini juga nampaknya akan hadir dengan langganan Google AI Pro 5TB selama 12 bulan secara percuma. Dengan pelan ini, pengguna akan mendapat akses kepada storan awanan Google Cloud 5TB dan sokongan untuk teknologi kecerdasan buatan Google seperti Gemini, Flow, dan Gemini Notebook sepanjang tempoh tersebut.

Acer mengatakan bahawa komputer riba ini hadir dengan tanda harga permulaan $899 dan pra-tempahan telah dibuka untuk pasaran-pasaran tertentu, dan akan mula dijual secara terbuka pada bulan Oktober kelak. Buat masa ini ia masih tidak diketahui lagi bilakah komputer riba ini akan diperlihatkan untuk pasaran tempatan.
Sumber: Acer




