Pusat data memerlukan kuasa untuk beroperasi dan jumlah air yang tinggi untuk penyejukan. Di Negeri Sembilan, Google mengumumkan pelaburan $160 juta (~RM 651 juta) untuk infrastruktur air negeri tersebut bagi keperluan bukan sahaja pusat data tetapi bekalan air penduduk setempat.

Inisiatif ini mencerminkan usaha menangani kebimbangan terhadap penggunaan air oleh pusat data berskala besar. Ia mencerminkan cita-cita global Google untuk memulihkan 120% daripada jumlah air tawar yang digunakan.Pelaburan ini akan membiayai pembinaan takungan simpanan air luar sungai serta loji rawatan air yang mampu membekalkan 65 juta liter air bersih setiap hari untuk kegunaan domestik, komersial, dan pusat data.
Gergasi telah melantik Gamuda Bhd untuk melaksanakan projek ini dengan penyelarasan bersama kerajaan negeri Negeri Sembilan dan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS). Setelah siap kelak, kemudahan-kemudahan ini akan dimiliki oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Incorporated (MBINS), iaitu badan berkanun negeri yang bertanggungjawab menguruskan aset kerajaan.
Infrastruktur baharu ini akan menyokong kampus pusat data yang dirancang oleh Google di Taman Perindustrian Springhill, Port Dickson dengan ia terletak di sepanjang Sungai Linggi, takungan simpanan air luar sungai tersebut akan menampung aliran air sungai yang berlebihan serta air hujan, terutamanya pada tempoh ketersediaan air yang tinggi. Pada waktu yang sama ia turut mempunyai fungsi sekunder menjadi kolam takungan air bagi mengelakkan banjir.





