amree04/11/2026 - 17:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Nov — Google mengumumkan pelaburan sebanyak AS$15 bilion (kira-kira RM60.96 bilion) di Malaysia bagi tempoh 2027 hingga 2028, yang dijangka menyokong lebih 37,000 peluang pekerjaan rakyat tempatan setahun sepanjang fasa pembinaan infrastruktur digital baharunya.
Pelaburan itu turut merangkumi pembangunan pusat data (DC) di Selangor dan Negeri Sembilan, selain inisiatif meningkatkan kemahiran 800,000 pekerja menjelang 2031, memperkukuh jaminan bekalan air serta menambah kapasiti tenaga bersih melebihi satu gigawatt (GW) kepada Grid Nasional.
Kumpulan tersebut menerusi kenyataan berkata, fasa pembinaan kampus baharu itu dijangka menyumbang purata AS$1.1 bilion (RM4.5 bilion) setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, selain menjana purata pendapatan buruh tahunan sebanyak AS$378 juta (RM1.5 bilion).
"Daripada jumlah pekerjaan dijangka disokong sepanjang tempoh itu, 6,000 orang melibatkan sektor pembinaan. Apabila kemudahan beroperasi, ia diunjur menyokong lebih 9,000 pekerjaan setiap tahun, dengan purata gaji 45% lebih tinggi berbanding penengah nasional," kata Google.
Infrastruktur itu merangkumi kampus DC pertamanya di Elmina Business Park, Selangor yang kini beroperasi, selain kampus baharu di Selangor dan Negeri Sembilan. Kapasiti pengkomputeran itu turut menyokong liputan awan Google di Malaysia yang bakal dilancarkan untuk pelanggan perusahaan.
Lebih 80 entiti tempatan terlibat dalam rantaian bekalannya di Malaysia, meliputi sektor pembinaan, kejuruteraan awam, rangkaian, sistem tenaga dan penyejukan serta perkhidmatan sokongan. Kerjasama itu dijangka membuka peluang kepada pembekal tempatan meningkatkan kepakaran.

Dalam usaha memperkukuh pembangunan bakat, Google turut memperkenalkan empat program baharu yang menyasarkan peningkatan kemahiran 800,000 rakyat dalam tempoh 2027 hingga 2031, meliputi pendidik, usahawan mikro, penjawat awam dan pencari kerja dalam bidang teknikal serta vokasional.
"Antara inisiatif itu ialah Experience AI Malaysia bagi meningkatkan literasi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan pelajar, Jelajah AI MSME membantu usahawan mikro menggunakan teknologi digital, AKAD Rakyat memperkukuh kemahiran AI penjawat awam serta penubuhan Data Center Institutes di politeknik terpilih bagi melatih pekerja sektor DC," katanya.
Bagi aspek kelestarian pula ujarnya, Google merancang menambah kapasiti tenaga bersih baharu melebihi 1GW kepada Grid Nasional menerusi kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pembangunan kemudahan di bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat Malaysia.
Syarikat itu turut merancang dua projek penambahan semula air, iaitu pemulihan lembangan Sungai Buloh dan Sungai Selangor bersama Global Environment Centre serta pembangunan pusat daya tahan bekalan air menerusi pemasangan sistem penuaian air hujan dan tangki simpanan di empat sekolah di Selangor.
Tambah Google, pelaburan itu turut meneruskan usaha meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga di DC, dengan kemudahan syarikat berkenaan mencatatkan tahap Keberkesanan Penggunaan Kuasa (PUE) antara 1.12 hingga 1.14 dalam iklim tropika, berbanding purata industri sebanyak 1.54.
Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat berkata, pelaburan itu mencerminkan komitmen syarikat mengembangkan kehadiran secara bertanggungjawab di Malaysia, selain menyokong keperluan infrastruktur digital, tenaga, air dan pembangunan kemahiran tempatan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pelan itu menyokong usaha Malaysia membina ekosistem digital bernilai tinggi yang memperkukuh keupayaan teknologi negara, melindungi sumber awam serta memastikan perniagaan, pekerja dan komuniti tempatan turut menikmati manfaat perkembangan AI dan inovasi digital. - DagangNews.com





