Google Maps dan Waze baru saja memperkenalkan beberapa ciri baharu yang bertujuan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dan menyediakan maklumat yang lebih tepat dan tepat pada masanya. Kemas kini ini sekaligus menunjukkan komitmen berterusan pihak Google untuk meningkatkan pengalaman pengguna dan menjadikan jalan raya lebih selamat untuk semua orang.

Google Maps menambah baik ciri pelaporan sebarang insiden yang berlaku seperti kemalangan, penutupan lorong, pembinaan, sekatan pihak polis dan pelbagai lagi. Pada masa yang sama, pemandu lain juga boleh mengesahkan insiden berkenaan. Menurut Google, ciri ini sedang dilancarkan secara global pada Android dan iOS serta pada kereta yang memiliki Android Auto dan Apple CarPlay yang Google terbina didalamnya.

Seterusnya, ciri baru yang diperkenalkan pada Google Maps ialah panduan ke destinasi baru yang akan menunjukkan arah ke pintu masuk bangunan dan pilihan tempat letak kenderaan yang berdekatan secara automatik apabila pemandu semakin hampir dengan destinasi. Ciri ini adalah sangat berguna khususnya apabila destinasi yang di tuju adalah lokasi yang tidak dikenali atau pemandu memandu dalam keadaan gelap pada lewat malam.

Selain itu, Waze pula menambah baik fungsi aplikasinya dengan ciri makluman amaran kamera. Ciri ini membantu pemandu untuk lebih peka tentang keberadaan kamera yang digunakan untuk mengambil gambar pemandu yang melanggar lampu isyarat dan memandu melebihi had laju. Ia juga secara tidak langsung menggalakkan pemandu untuk lebih berhati-hati dan mematuhi undang-undang di jalan raya. Ciri ini dilancarkan secara global pada Android dan iOS.

Waze juga menambah ciri pemberitahuan tentang maklumat trafik dalam masa nyata. Menerusinya, Waze akan memberikan makluman tentang sebarang acara suka, konsert atau perarakan yang mungkin menyebabkan kesesakan lalu lintas. Ini membolehkan pemandu merancang laluan mereka sewajarnya untuk mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan. Pemandu juga boleh berkongsi maklumat berkenaan dengan kenalan. Ciri ini juga sedang dilancarkan secara global bagi pengguna Android dan iOS dalam aplikasi Waze.

Terakhir, tambahbaik aplikasi Waze pada Android buat masa ini ialah ia membolehkan pemandu menerima panduan naviagasi walaupun ketika skrin telefon dikunci. Walau bagaimanapun, pengguna iOS juga akan diberikan kebolehan untuk menggunakan ciri ini dalam masa terdekat.
Secara keseluruhan, kesemua ciri baharu ini menunjukkan komitmen Google dan Waze untuk terus meningkatkan kualiti aplikasi mereka dan memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik kepada pengguna.

