Circle to Search adalah ciri carian yang menggunakan teknologi Google Lens. Ia sangat mesra pengguna dan hasil carian juga menarik kerana turut memaparkan butiran penting. Sayang sekali ciri ini masih terhad kepada pengguna Samsung Galaxy dan Google Pixel terpilih sahaja. Akan datang, ciri ini akan diberikan kepada lebih banyak peranti Android lain. Jika anda tidak sabar ingin mencubanya, Google Chrome Beta kini menawarkan ciri lebih kurang sama untuk pengguna PC.

Ia menggunakan Google Lens, di mana pada Chrome ia dinamakan sebagai Drag to search yang turut mempunyai animasi dan cara keputusan dipaparkan seakan Circle to Search. Ciri ini bukan sahaja boleh digunakan untuk carian, jika anda Drag to search pada gambar, teks di dalamnya turut boleh dipilih sama da untuk salin atau menterjemah ke bahasa lain.

Buat masa ini ciri ini masih terhad kepada pengguna Google Chrome Beta. Akan datang ia akan diaktifkan kepada semua pengguna sama ada melalui klik kanan atau tekan ikon Google Lens pada bar alamat. Dalam cubaan saya, ia benar-benar seakan Circle to Search dan cukup menarik. Ciri lebih kurang sama ini turut ditawarkan kepada pengguna iPhone.
