Google Menguji Aplikasi Untuk Windows Yang Menawarkan Pengalaman Seumpama Spotlight Pada MacOS

TechnologyDigital
17 Sep 2025 • 11:49 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Google hari ini mengumumkan mereka menawarkan sebuah aplikasi khusus untuk Windows dibawah Google Labs, yang memudahkan pengguna untuk melakukan carian dokumen dengan mudah dari mana-mana bahagian desktop. Secara kasar, ia menawarkan pengalaman seumpama ciri carian “Spotlight” pada macOS.

image is not available

Melalui aplikasi ini, apabila ia dipasang, pengguna boleh mengaktifkannya dengan hanya menekan kekunci Alt + Space pada papan kekunci, dan seterusnya melakukan carian informasi dan fail, termasuk melibatkan fail-fail dalam komputer, aplikasi yang dipasang, dan juga fail-fail dalam Google Drive. Pengguna juga turut boleh menggunakannya dalam melakukan carian web.

Disamping itu, pengguna turut boleh mengaktifkan Google Lens padanya, dan mendapatkan informasi berkaitan  sebarang perkara yang dipaparkan pada skrin komputer pengguna – termasuk untuk melakukan terjemahan, dan lain-lain.

Buat masa ini, Google menawarkan akses kepada aplikasi ini kepada pengguna di Amerika Syarikat terlebih dahulu, dan perlu menggunakan Windows 10 dan terkini. Sama-sama kita nantikan bilakah ia akan diperluaskan kepada pengguna global, termasuk Malaysia.