Tidak ketinggalan awal pagi tadi ialah pelancaran Google Pixel Buds Pro 2 yang kali ini dilengkapi cip Tensor A1 yang memberikan kemampuan audio lebih baik, penjejakan lokasi menerusi Find My Device dan kemampuan pembatalan hingar (ANC) yang lebih baik.

Dari sudut rekaan ia masih lagi mengekalkan rekabentuk yang sama seperti Pixel Buds Pro pada bahagia pod tetapi pada putik audio ia mempunyai mekanisme putaran untuk “menguncinya” ke dalam telinga. Menurut Google rekaan baharu ini dipilih selepas melihat data 45 juta telinga manusia.

Terdapat sokongan berinteraksi dengan Gemini hanya dengan kawalan suara. Penambahbaikan dilakukan juga pada komponen dalaman dengan ANC dikatakan dua kali ganda lebih baik. Bateri yang digunakan boleh menawarkan penggunaan sehingga 8 jam dengan ANC atau 12 jam tanpanya. Dengan bantuan pod pengecas, ia meningkat ke 30 jam dengan ANC dan 40 jam tanpanya.
Fon telinga boleh dijejak menggunakan Find My Device dengan ia akan berbunyi walaupun dengan kedua-dua putik audio di dalam pod simpanan. Ini menjadikan ciri penjejakannya mirip yang disokong pada AirPods Pro 2. Google Pixel Buds Pro 2 dijual pada harga $229 (~RM1019) dalam warna Porcelain, Hazel, Wintergreen, dan Peony. Ia disenaraikan di Google Store Malaysia tetapi harga jualan masih belum diumumkan.
