
SEPANG – Selepas sembilan tahun, perlumbaan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) masih menyajikan aksi dramatik apabila Grand Prix (GP) Bahrain beberapa kali tergendala sebelum ia dimulakan susulan hujan lebat.
Sebaik sahaja hujan reda dan perlumbaan dimulakan, pelumba Mercedes AMG, Kimi Antonelli yang bermula di petak ketiga memecut laju ke depan bagi memimpin perlumbaan itu sebelum dicabar Max Verstappen dari Red Bull Racing.
Kemudian, Verstappen memanfaatkan situasi kereta keselamatan virtual untuk memintas Antonelli di pusingan ke-13 bagi memimpin perlumbaan sebelum melebarkan penguasaan menerusi jurang masa lebih 7 saat (s).
Juara dunia empat kali itu terus mengekalkan rentak konsisten sepanjang perlumbaan tersebut meskipun kereta keselamatan masuk pada pusingan ke-46 sebelum dia meneruskan saingan dan melintasi garisan penamat sebagai pemenang.
Verstappen berkata, kemenangan itu merupakan satu keputusan yang sangat manis memandangkan ia bukan sahaja merupakan kemenangan pertamanya musim ini, malah turut menjadi gelaran sulung Red Bull.
“Satu kemenangan yang sangat baik selepas kami melakukan progres sepanjang musim ini. Saya sangat bangga dengan semua orang dalam pasukan dan kemenangan di sini boleh dikatakan sangat bermakna.

“Ia bukan satu perlumbaan yang mudah kerana kami perlu menunggu (unit) kuasa untuk berfungsi sepenuhnya. Kami juga melakukan keputusan yang sangat baik dengan menggunakan tayar ‘intermediate’ di awal perlumbaan,” katanya.
Mengiringi Verstappen di podium adalah Antonelli yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua, diikuti pelumba Ferrari, Lewis Hamilton yang bangkit daripada ketinggalan untuk berada di kedudukan ketiga.
Sebagai rekod, ia boleh dianggap sebagai detik bersejarah buat Verstappen kerana dia juga merupakan pelumba terakhir yang memenangi perlumbaan di Sepang pada GP Malaysia ketika edisi 2017.
Terdahulu, perlumbaan tertangguh lebih sejam akibat hujan lebat yang membasahi Sepang sehingga ada beberapa jentera, termasuk milik Hamilton hampir kehilangan kuasa ketika melakukan pusingan formasi.
Ketika aksi kembali bersambung, kelompok hadapan menyaksikan persaingan yang cukup sengit antara Verstappen dan Antonelli sehingga ke penghujung saingan. – KOSMO! ONLINE
The post GP Bahrain: Verstappen kekal jadi ‘penakluk’ Sepang appeared first on Kosmo Online.





![[VIDEO] Pancaragam Malaysia-Bahrain bergabung, iringi Negaraku dalam hujan lebat di SIC](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-04-at-17.46.08-1024x766.jpeg)
![[VIDEO] Anwar beri bayangan kemungkinan F1 kembali ke Malaysia](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/ANWAR-F1-1024x568.jpeg)