
SEPANG – Pelumba pasukan KTM, Pedro Acosta mendapat suntikan semangat menjelang perlumbaan sebenar Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) esok selepas memenangi aksi pecut sebentar tadi.
Bermula di petak ketiga, Acosta lebih banyak ‘memerhati’ di bahagian belakang untuk sebahagian besar perlumbaan sebelum mula melakukan tekanan ke atas Ai Ogura dari pasukan Trackhouse pada penghujung saingan.
Meskipun hujan mulai turun ketika perlumbaan berbaki lima pusingan, namun Acosta berjaya mengekalkan fokus sebelum melintasi garisan penamat sebagai pemenang menerusi catatan masa 20 minit 04.09 saat (s).
Acosta berkata, walaupun cuaca semasa perlumbaan berubah-ubah, namun dia terpaksa mengambil risiko untuk memanfaatkan peluang selepas pendahulu perlumbaan dari pasukan Gresini Racing, Alex Marquez terjatuh ketika pusingan ketiga.
“Anda semua tahu bahawa dalam cuaca yang berubah-ubah seperti ini, saya tidak selalu melakukan tugas yang baik tetapi saya rasa hari ini mungkin peluang terbaik untuk saya mencuba.

“Alex (Marquez) terjatuh dan ketika itu saya tahu saya perlu memanfaatkan peluang yang ada. Saya sangat gembira dan pasukan melakukan tugas yang sangat baik bagi meningkatkan kemampuan jentera,” katanya sejurus tamat perlumbaan.
Mengiringi Acosta di podium adalah pelumba Ducati, Marc Marquez yang sedang menggalas misi untuk mempertahankan kejuaraan dunia selepas menamatkan perlumbaan di tempat kedua diikuti Marco Bezzecchi dari Aprilia.
Kemenangan diraih pastinya memberi suntikan semangat buat Acosta menjelang perlumbaan sebenar esok yang turut dijangka berlangsung dalam keadaan sengit. – KOSMO! ONLINE
The post GP Malaysia: Acosta kuasai acara pecut di Sepang appeared first on Kosmo Online.




