Moto4: Qabil Irfan bangkit tawan Sepang

31 Oct 2026 • 5:45 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Moto4: Qabil Irfan bangkit tawan Sepang

SEPANG – Selepas dua bulan tersisih akibat kecederaan patah kaki sehingga terlepas dua perlumbaan, pelumba muda negara, Muhammad Qabil Irfan Azlan membuktikan semangat juang tinggi apabila muncul juara Perlumbaan 1 Kejuaraan Moto4 Asia Cup di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Kejayaan itu lebih manis apabila Malaysia turut meraikan pencapaian berganda menerusi seorang lagi wakil negara, Muhammad Qayyim Razin Razali yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga untuk sama-sama menaiki podium di laman sendiri.

Sebelum ini, pelumba kelahiran Terengganu berusia 15 tahun itu terpaksa melupakan saingan di Motegi, Jepun dan Mandalika, Indonesia selepas mengalami kemalangan ketika sesi Latihan Bebas 2 (FP2) Moto4 European Cup di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol pada awal September lalu sehingga menyebabkan tulang tibia dan fibula kaki kirinya patah.

Kembali beraksi pada Pusingan 5 yang berlangsung sempena Grand Prix (GP) Malaysia, Qabil yang memulakan perlumbaan dari petak kedua bermula dengan baik, namun berdepan kesukaran pada fasa awal apabila hujan renyai mula membasahi permukaan litar.

Bagaimanapun, pelumba negara itu tidak terburu-buru membuat percaturan sebelum menemui ruang untuk memintas pelumba Indonesia, Bintang Pranata, sekali gus melintasi garisan penamat sebagai juara dengan catatan masa keseluruhan 27 minit 45.895 saat (s).

Kemenangan itu membolehkan Qabil mengutip 25 mata penuh untuk melonjak ke tangga keenam keseluruhan kejuaraan dengan 87 mata, sekali gus menghidupkan semula peluangnya untuk memperbaiki kedudukan dalam baki perlumbaan musim ini.

Mengulas perlumbaan berkenaan, Qabil mengakui dia hampir terjatuh ketika cuba mencari rentak dan keyakinan di atas permukaan litar basah, namun berjaya mengawal jentera sebelum meneruskan saingan hingga ke penghujung.

“Alhamdulillah, saya berjaya menang hari ini. Pada awal perlumbaan, saya cuba menekan jentera dan mencari semula keyakinan kerana sejujurnya saya sedikit hilang keyakinan pada fasa permulaan, namun saya cuba menguruskannya sebaik mungkin sehingga ke garisan penamat.

“Saya juga hampir terjatuh, tetapi mujur sempat mengawalnya dan amat bersyukur kerana tidak berlaku kemalangan. Perlumbaan tadi sangat sukar kerana ini kali pertama saya beraksi dalam keadaan litar basah di sini,” katanya selepas perlumbaan.

Lebih menggembirakan, Qabil berkata kecederaan kaki kirinya tidak menjejaskan tunggangan, termasuk ketika menukar gear dan brek, selain menyifatkan kemenangan itu cukup istimewa selepas melalui tempoh pemulihan yang mencabar. Kejayaan tersebut turut menyuntik motivasi buatnya untuk memburu keputusan lebih baik dalam Perlumbaan 2, esok.

Dalam pada itu, seorang lagi pelumba negara, Muhammad Naqib Rifqi Zulhelmi menamatkan perlumbaan di tempat ke-17, ketinggalan 27.641 saat di belakang Qabil.

Kedudukan keseluruhan kejuaraan pula terus diterajui pelumba Jepun, Hayato Chishiki dengan 136 mata, diikuti Waku Kunitate (121 mata) dan Bintang Pranata (109 mata), manakala Qayyim Razin berada di tangga kelapan dengan 73 mata serta Naqib di kedudukan ke-16 dengan 19 mata. -KOSMO! ONLINE

The post Moto4: Qabil Irfan bangkit tawan Sepang appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved