GPMS sokong Polisi Perlindungan Murid Sekolah, cadang sesi libat urus menyeluruh

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 8:30 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

GPMS sokong  Polisi Perlindungan Murid Sekolah, cadang sesi libat urus menyeluruh

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyokong usaha Kementerian Pendidikan (KPM) memperkukuh keselamatan dan kebajikan murid menerusi Polisi Perlindungan Murid Sekolah, namun mencadangkan proses libat urus bersama warga pendidik dan pemegang taruh dilaksanakan secara lebih menyeluruh.

Presiden GPMS Fazreen Fauzi berkata sesi penerangan, libat urus dan meja bulat bersama guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pemegang taruh penting bagi memastikan tujuan, skop dan prosedur polisi berkenaan difahami dengan jelas serta mengambil kira realiti di sekolah.

Sehubungan dengan itu, beliau menyambut baik hasrat KPM mengadakan sesi khas bersama pemegang taruh bagi meneliti kebimbangan berhubung pelaksanaan polisi berkenaan, selain berharap ruang dialog itu dapat diperluas kepada warga pendidik.

“GPMS menyeru agar KPM membuka ruang dialog yang lebih menyeluruh bersama warga pendidik bagi memastikan polisi ini dapat dilaksanakan dengan jelas, adil dan mengambil kira realiti di sekolah. Melindungi murid adalah amanah, melindungi guru juga tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memaklumkan KPM akan mengadakan sesi khas bersama pemegang taruh bagi menjawab dan meneliti kebimbangan berhubung pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid Sekolah yang mencetuskan kegusaran banyak pihak baru-baru ini.

Pelaksanaan polisi itu, yang diumumkan menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) bertarikh 1 Julai lepas, mewajibkan warga sekolah serta pihak luar yang mempunyai urusan dengan sekolah dan warganya menandatangani Surat Aku Kepatuhan Polisi Perlindungan Murid Sekolah sebagai bukti komitmen terhadap keselamatan murid.

SPI berkenaan menggariskan lima fokus utama reformasi pendidikan, iaitu kesihatan mental, pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, keganasan seksual kanak-kanak dan pencegahan bahan terlarang, polisi perlindungan murid, kebajikan guru serta suara murid.

-- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved